Bangkok Keluarkan Garis Panduan Festival Songkran

Diterbitkan: Rabu, 6 April 2016 11:18 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Tarian provokatif, pakaian mendedahkan dan mangkuk yang tertera nama Thaksin Shinawatra akan dilarang semasa Festival Songkran diadakan.

Festival warna-warni yang diadakan dari 13 sehingga 15 April ini berdepan dengan pendirian tegas terhadap peserta mabuk, provokatif secara seksual atau mengamalkan pendirian politik berhaluan kiri.

Pihak polis akan mengambil tindakan segera ke atas mana-mana peserta Songkran yang mabuk atau memakai pakaian terlalu mendedahkan.

Peserta juga diberi amaran supaya berhati-hati mengenai tindakan melemparkan serbuk kepada orang lain atau berdepan dengan risiko hukuman kerana melakukan gangguan seksual.

Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha pada Selasa berkata, beliau telah mengarahkan penahanan segera ke atas mana-mana wanita atau transgender yang didapati melakukan tarian provokatif secara seksual di atas pikap atau trak semasa festival berlangsung.

"Jangan kata festival ini untuk seronok-seronokm dan festival ini hanya diadakan beberapa hari setiap tahun. Tindakan seumpama itu boleh menimbulkan masalah kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata, tarian provokatif mungkin menganggu peserta lain yang akhirnya melakukan gangguan seksual kepada mereka yang lain. Jenayah boleh berlaku disebabkan perkara tersebut.

Mengenai mangkuk merah, sumber pada Selasa mendedahkan polis bersedia untuk menyoal siasat mana-mana peserta yang membawa mangkuk merah yang mempunyai nama Thaksin.

"Dalam mesyuarat mereka, polis telah diberikan garis panduan iaitu mereka perlu menyoal siasat dari mana mangkuk berkenaan diperoleh," menurut sumber.

Majlis Kebangsaan Keamanan Thailand (NCPO) turut mempertimbangkan untuk menempatkan ahli politik yang memberikan mangkuk pro-Thaksin dalam satu kursus selama tujuh hari "bagi mengubah sikap mereka".

Ketua NCPO, Prayut menegaskan bahawa mangkuk berkenaan bukanlah hadiah Tahun Baharu Thailand.

Pegawai polis kanan tidak menyebut secara langsung mengenai mangkuk merah semasa mereka mengadakan mesyuarat berkaitan Songkran pada Selasa.

Bagaimanapun, sumber memberitahu, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (MBA) menggesa orang ramai supaya mengelakkan daripada membawa beg galas, memakai topeng muka, dan memegang pistol air yang besar semasa festival berlangsung.

Beberapa acara besar Songkran akan diadakan di ibu negara antaranya di Jalan Khao San, Jalan Silom dan Central World.

Penolong Pesuruhjaya Polis, Leftenan Jeneral Anan Srihiran berkata, trak air juga dilarang memasuki 33 jalan utama di Bangkok sepanjang tempoh penganjuran festival.

"Kita akan menggalakkan sambutan Songkran yang indah dan selamat," katanya. - The Nation/Asia News Network

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan