MH370: Penemuan Serpihan Kabin, Malaysia Kerjasama Dengan Mauritius

Diterbitkan: Ahad, 3 April 2016 11:21 AM

Serpihan kabin dipercayai milik MH370 ditemui di sebuah pulau di Mauritius.

(Ubah saiz teks)

SYDNEY: Australia menegaskan serpihan baharu yang dijumpai di sebuah pulau di Mauritius, di timur Afrika akan diperiksa untuk meneliti jika ia sah milik pesawat MH370.

Serpihan itu ditemui pasangan yang sedang bercuti di Pulau Rodrigues ketika bersiar di pantai dekat War-Brûlé antara Mourouk and Gravel, pada Khamis.

Kerajaan Malaysia sedang bekerjasama dengan pegawai dari Mauritius untuk mengawasi serpihan itu dan mengatur proses penelitian," kata Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester pada Ahad.

"Serpihan itu barang yang menarik, namun sehingga ianya dinilai oleh pakar, adalah mustahil untuk menentukan asal usulnya.

Namun, masih belum jelas negara yang akan terlibat dalam memeriksa serpihan tersebut.

Sebelum itu, pakar penerbangan Don Thompson memberitahu laman web agensi berita Australia bahawa serpihan itu kelihatan padan dengan dinding sekat kabin kelas perniagaan, pesawat MAS Boeing 777.

Kemasan hiasan pada bahagian itu bagaimanapun, tidak terhad kepada seksyen milik B777 dan mungkin juga dari kelas ekonomi, kata Thompson kepada news.com.au.

Penemuan terbaharu itu didedahkan kurang dua minggu selepas pihak berkuasa Australia dan Malaysia berkata dua keping serpihan yang ditemui di Mozambique hampir pasti dari MH370.

Sekeping serpihan, kemungkinan daripada bahagian 'inlet cowling' enjin pesawat ditemukan di persisiran pantai di selatan Afrika Selatan, berhampiran bandar Mossel Bay, bulan lalu.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Tags / Kata Kunci: MH370 , serpihan kabin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan