Wanita Singapura Dilapor Hilang Kembali Bersama Kekasih Dari Romania - Berita Dunia | mStar

Wanita Singapura Dilapor Hilang Kembali Bersama Kekasih Dari Romania

Diterbitkan: Isnin, 28 Mac 2016 10:11 PM

-fotoFACEBOOK/DONEA AURELIA

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Warga Singapura Cheryl Yap Lay Leng, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya awal tahun ini, kini kembali ke Singapura bersama teman lelakinya dari Romania, Alexandru Donea.

Cheryl, 25, telah pergi ke Romania pada Januari bersama ibunya, Foo Li Kheng, 61, untuk bertemu Donea, 18.

Mereka pergi tanpa memberitahu bapa Cheryl, Mr Yap yang bimbang isteri dan anak perempuannya menjadi mangsa penipuan.

Tetapi tidak lama kemudian, kedua-dua wanita ditemui.

Mereka tinggal bersama Donea dan ibu bapanya di rumah mereka di Vultureşti, sebuah kampung di Olt County, kira-kira 150 km dari Bucharest.

Kini, Donea dan ibunya, Aurelia, berada di Singapura untuk melawat Mr Yap.

Remaja itu dan ibunya memberitahu Shin Min Daily News bahawa mereka tiba di Singapura kira-kira dua minggu lalu dan bercadang untuk tinggal di sana selama tiga bulan.

Dalam posting Facebook pada 12 Mac, emak Donea memuat naik gambar mereka berempat di sebuah pusat beli-belah dengan kapsyen: "Di Singapura membeli-belah bersama anak perempuan dan anak lelaki saya."

Mr Yap berkata dia tidak membantah percintaan anaknya dan hanya mahu anaknya selamat, lapor Shin Min.

Cheryl dan Donea menjalani hubungan jarak jauh selama lebih dari dua tahun, dan merancang untuk berkahwin.

Kedua-dua mereka mengenali antara satu sama lain melalui media sosial. -The Straits Times/Asia News Network
Tags / Kata Kunci: wanita hilang , kekasih Romania
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan