Kemarau Berlarutan Di Thailand Boleh Memalapkan Pesta Songkran

Diterbitkan: Khamis, 10 Mac 2016 2:15 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Pesta "Songkran" (Pesta Air) yang secara tradisinya diadakan untuk menyambut ketibaan tahun baru pada pertengahan bulan depan boleh menjadi mangsa kemarau yang semakin buruk melanda negara ini termasuk ibu negara, Bangkok.

Berikutan dengan bekalan air yang semakin berkurangan, kerajaan telah memberi amaran kepada mereka yang meraikan Songkran supaya berjimat-cermat menggunakan air. 

Mereka dinasihatkan supaya hanya merenjis dan bukan mencampak berbaldi-baldi air atau mengadakan perang air. 

"Kerajaan sedang menyiapkan kempen penjimatan air dan akan meminta rakyat mengamalkan kaedah tradisional "Rod Nam Dam Hua" (merenjis sedikit air kepada orang lain) apabila merayakan Songkran dan tidak mencampak sepenuhnya air dalam baldi" kata Perdana Menteri Jen. Prayuth Chan-o-cha kepada media tempatan baru-baru ini. 

Musim kering yang melanda Thailand sekarang menyebabkan kemarau berpanjangan dan memberi kesan kepada banyak kawasan pertanian negara ini. 

Kerajaan Thailand mengumumkan 46 daerah di 12 wilayah sebagai kawasan yang dilanda kemarau. 

Menurut Pejabat Lembaga Kemajuan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan Thailand, krisis kemarau mengakibatkan hampir 500,000 orang dalam sektor pertanian kehilangan mata pencarian dan memerlukan bantuan kerajaan. 

TIADA GANGGUAN BEKALAN AIR DI KHAO SAN ROAD

Sebagai pengeluar pertanian utama di dunia, dianggarkan lebih 12 juta rakyat Thai bekerja dalam sektor ini. 

Sehingga musim kering berakhir pada bulan Ogos dan air mula mengalir semula ke empangan, pihak berkuasa Thai telah merangka lapan kaedah untuk menangani musim kemarau termasuk melakukan pembenihan awan. 

Di sebalik mengingatkan rakyat Thailand supaya berjimat cermat mengguna air sewaktu pesta Songkran, pihak kerajaan bagaimanapun mahu Kementerian Pelancongan dan Sukan memastikan pelancong tidak keliru dengan keadaan sekarang sehingga membatalkan rancangan mereka datang ke negara ini. 

Satu bahagian Bangkok yang sejak bertahun-tahun merayakan Songkran secara besar-besaran ialah Khao San Road, dikenali di seluruh dunia kerana komuniti backpackers. 

Pemimpin perniagaan di kawasan itu, Piyabut Jiwaramonikul berkata Pesta Songkran di Khao San Road akan tetap semeriah tahun-tahun sebelumnya dan tidak akan terjejas dengan seruan kerajaan supaya menjimatkan penggunaan air. 

TERIMA NASIHAT KERAJAAN

"Saya tidak fikir perayaan Songkran yang hanya untuk tiga hari itu akan membazirkan banyak air kerana orang biasanya menikmati perang air dengan menggunakan pistol air. 

"Cara ini tidak menggunakan banyak air berbanding menyimbah air kepada satu sama lain," katanya. 

Beliau lalu memberi jaminan kepada pelancong dan orang ramai bahawa mereka akan menikmati keseronokan Songkran di Khao San Road. 

Di sebalik jaminan yang dibuat oleh Piyabut, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengambil pendekatan yang berbeza dan akan mematuhi dasar air kerajaan sewaktu Pesta Songkran. 

Menurut BMA, amalan "Rod Nam Dam Hua" kerajaan berbanding perang air sewaktu perayaan Songkran bukan sahaja selaras dengan budaya Thai tetapi sesuai dengan usaha penjimatan air sewaktu musim kemarau. 

Meskipun mengambil pendekatan yang sama seperti kerajaan dalam usaha penjimatan air semasa Songkran, BMA yang akan menjadi tuan rumah perayaan itu di 50 daerah Bangkok akur pihaknya tidak boleh mengarahkan orang ramai dalam soal penggunaan air. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Pesta Songkran , Bangkok , Rod Nam Dam Hua

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan