Pembersih Pantai Pulau Reunion Temui Serpihan Pesawat Kedua

Diterbitkan: Isnin, 7 Mac 2016 10:30 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembersih pantai di Pulau Reunion dekat Lautan Hindi yang sebelum ini menemui 'flaperon' MH370, sekali lagi telah menjumpai objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat penerbangan Malaysia itu.

Johnny Begue yang menemui serpihan pertama Julai lalu memberitahu AFP beliau telah menyerahkan objek berdimensi 40 X 20 sentimeter itu kepada polis.

Katanya, objek dengan tanda biru pada permukaannya itu ditemui ketika beliau melakukan senaman pagi di tepi pantai, Khamis lalu.

"Objek itu ringan dan permukaan bawahnya berwarna kelabu, malah pembuatannya hampir sama dengan sayap (flaperon) yang saya temui dulu," katanya ketika ditemui AFP di Saint-Denis, dekat Pulau Reunion.

Sebelum ini, pasukan penyiasatan dianggotai Australia dan Malaysia telah melakukan analisa ke atas objek yang pertama ditemui Begue.

Pemeriksaan mengesahkan nombor siri pengilang dan warna flaperon berkenaan adalah milik MH370 yang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China, 8 Mac 2014. 

Begue berkata, susulan insiden pada Julai lalu itu, beliau sering ke pantai untuk mencari serpihan pesawat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, polis atau mana-mana pihak berkaitan belum menghubunginya bagi memaklumkan perkembangan lanjut mengenai objek terbaharu itu.

Penemuan Begue dilaporkan tiga hari selepas Blaine Gibson menjumpai objek dipercayai penstabil mendatar pesawat jenis Boeing 777 di Mozambique, Afrika.

Pasukan penyiasat Malaysia dan Australia kini dalam usaha mengenal pasti dan melakukan analisis lanjut, sebelum mengemukakan sebarang pengesahan sama ada ia petunjuk baharu mengenai MH370.




Tags / Kata Kunci: Jonny Begue , Reunion , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan