Raja Dadah Mexico Masuk AS Dua Kali Semasa Diburu

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mac 2016 9:18 AM

Joaquin "El Chapo" Guzman.

(Ubah saiz teks)

MEXICO CITY: Raja dadah Mexico, Joaquin "El Chapo" Guzman pernah menyusup masuk ke Amerika Syarikat (AS) untuk melawat ahli keluarganya ketika dia masih dalam buruan pihak berkuasa.

Perkara itu didedahkan salah seorang anak perempuannya, Rosa Isela Guzman Ortiz kepada akhbar The Guardian.

Rosa yang kini menetap di California, berkata, bapanya memasuki Amerika tahun lalu, diikuti tidak berapa lama selepas itu menemui pelakon terkenal, Sean Penn pada Oktober.

Rosa bagaimanapun tidak memberikan tarikh sebenar kedatangan bapanya itu tetapi memberitahu akhbar harian Britain itu bahawa Guzman melintasi sempadan untuk melawat sanak saudaranya.

Ini termasuk melawat Rosa yang mendiami rumah lima bilik yang dibeli khas oleh Guzman untuk anaknya itu.

"Bapa saya memasukkan wang di dalam akaun bersama peguam dan selepas itu datang ke sini untuk melihat rumah ini. Dia datang ke sini dua kali," kata wanita berusia 39 tahun itu.

Rosa kini memegang kerakyatan Amerika dan turut menjalankan perniagaan kecil di California.

Dia bagaimanapun enggan menyatakan bagaimana raja dadah yang paling dikehendaki di dunia itu dapat membolosi sempadan Amerika.

"Saya juga bertanya soalan yang sama," katanya.

Sindiket Sinaloa yang diketuai Guzman menggunakan terowong canggih untuk membawa masuk dadah ke Amerika dan dipercayai laluan rahsia itu turut digunakannya.

Jurucakap Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika, Jackie Wasiluk, berkata jabatan itu tidak mempunyai maklumat untuk menyokong dakwaan dan laporan akhbar berkenaan.

Rosa mendakwa, bapanya 'membeli' perlindungan di peringkat tertinggi di Mexico dan menghantar wakilnya untuk menemui ahli politik kanan negara itu.

"Apa yang saya tahu, ayah memberitahu peguamnya untuk menghantar beberapa cek kepada ahli politik untuk berkempen dan memberitahu dia menghormati mereka," katanya.
Tags / Kata Kunci: Raja Dadah Mexico , AS , El Chapo

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan