Pilihan Raya Penting Di Lima Negeri, Tamil Nadu 16 Mei Ini

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mac 2016 9:09 AM

Nasim Zaidi.

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Pilihan raya dewan undangan negeri bagi Tamil Nadu, Kerala dan kesatuan negeri Puducherry akan diadakan pada 16 Mei.

Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya Nasim Zaidi mengumumkan pada sidang akhbar bahawa pilihan raya bagi negeri Assam akan diadakan dalam beberapa fasa dari 4 hingga 11 April, manakala di Bengal Barat pula dalam lima fasa iaitu dari 5 April hingga 5 Mei.

Pemerhati politik berkata pilihan raya itu merupakan ujian penting bagi parti pemerintah, Bharatiya Janata Party (BJP), yang diketuai Perdana Menteri Narendra Modi, untuk menembusi negeri berkenaan yang diperintah parti pembangkang.

Di Tamil Nadu, All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) menjadi parti pemerintah, Kerala (Kongres), Bengal Barat (All India Trinamool Congress), Assam (Kongres) dan Puducherry (All India NR Congress).

Nasim juga mengumumkan bahawa proses pengiraan undi akan bermula pada 19 Mei dan dijangka selesai menjelang 21 Mei.

Beliau berkata terdapat kira-kira 170 juta pemilih berdaftar di lima negeri berkenaan dan suruhanjaya pilihan raya, dengan bantuan pasukan keselamatan, akan bertindak tegas terhadap anasir penjenayah, terutama terhadap mereka yang mungkin cuba menghalang orang ramai daripada mengundi.

Sementara itu, parti politik di Tamil Nadu telah mengadakan perbincangan untuk membentuk pakatan apabila Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Kongres.

Gabungan itu mungkin diperkukuhkan lagi dengan penyertaan Desiya Murpokku Dravida Kazhagam (DMDK), yang dipimpin pelakon P. Vijaykanth.

AIADMK, pimpinan Ketua Menteri J. Jayalalithaa, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-68 baru-baru ini dengan upacara sembahyang khas, menghadapi tugas berat untuk mengekalkan kuasanya berikutan terdapat laporan minggu lepas bahawa perpecahan berlaku dalam kalangan pemimpinnya.

Jayalalithaa berdepan dengan kemungkinan hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya itu sekiranya Mahkamah Agung mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Kerala yang membebaskannya daripada kes pemilikan aset secara tidak wajar berjumlah 66.5 crore rupee (kira-kira RM40 juta).- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: pilihan raya , Tamil Nadu

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan