Berkahwin Dengan Mayat, Rakyat China Kembali Amalkan Adat Kuno

Diterbitkan: Rabu, 2 Mac 2016 12:16 PM

(Ubah saiz teks)

BEIJING: Di kawasan pedalaman China sekarang, orang bujang yang sudah meninggal dunia pun boleh mendapat jodoh dengan munculnya kembali satu adat yang aneh.

Masyarakat Cina pada satu ketika dulu mengamalkan adat yang dikenali sebagai "Perkahwinan dengan mayat" yang mana melibatkan lelaki bujang yang meninggal dunia dikahwinkan dengan mayat seorang perempuan.

Adat ini kemudiannya diharamkan selepas pembentukan Republik Rakyat China pada tahun 1949.

Bagaimanapun, apabila berlaku kecurian mayat yang berterusan di wilayah desa Shanxi, ianya sebagai tanda adat usang 'perkahwinan dengan mayat' kembali diamalkan.

Pada 23 Feb, Agensi Berita Xinhua melaporkan bahawa daerah Hongtong di selatan menyaksikan sekurang-kurangnya 36 kecurian mayat perempuan dalam tempoh tiga tahun lepas.

Menurut Xinhua, dalam upacara perkahwinan dengan mayat ini, rangka perempuan akan diikat dengan wayar keluli dan diberi pakaian sebelum ditanam bersama lelaki bujang yang sudah mati sebagai "pengantin perempuannya".

Ramai penduduk kampung percaya sekiranya anggota keluarga lelaki meninggal dunia sebelum berkahwin, mereka perlu mencarikannya pasangan untuk menjadi teman hidup mereka di dunia lain.

Terdapat banyak lagi sebab untuk perkara ini. Tambahan, mereka percaya kegagalan untuk mencari pasangan untuk ditanam bersama saudara lelaki bujang yang mati akan membawa nasib malang kepada kehidupan mereka.

PERMINTAAN MENINGKATKAN HARGA MAYAT SEHINGGA 100,000 YUAN

Secara jujurnya saya terkejut apabila mendengar adat seperti ini masih diamalkan di China, negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk dan sebuah negara yang sedang pesat membangun.

Upacara perkahwinan dengan mayat diamalkan sepanjang era feudal China dan terutamanya popular pada kurun ke-10 sewaktu Dinasti Song.

Selepas adat ini diharamkan, masyarakat desa China masih meneruskan adat ini dengan menggunakan gambar atau patung yang dibuat daripada kertas atau doh..

Menurut Xinhua, apabila penduduk China semakin mewah, amalan menggunakan mayat yang sebenar muncul kembali di sesetengah kawasan desa wilayah Shanxi, wilayah utara Henan dan wilayah Shaanxi.

Xinhua juga memetik timbalan pengarah Persatuan Sastera Rakyat dan Kesenian, Chang Sixin sebagai menyatakan, terdapat juga ejen serta syarikat mencari jodoh untuk mencarikan pasangan "mayat perempuan" bagi lelaki bujang yang meninggal dunia.

UNDANG-UNDANG GAGAL MENYEKAT PENCURI MAYAT

Menurut undang-undang jenayah China, mereka yang mencuri atau merosakkan mayat boleh dipenjara tiga tahun.

Hukan yang ringan ini menyebabkan pencuri mayat masih meneruskan perniagaan yang menyeramkan ini.

Mereka yang terdesak untuk mencari mayat boleh membelanjakan sehingga 100,000 yuan (kira-kira RM64,300) untuk mendapatkan mayat perempuan yang baru meninggal dunia sedangkan mayat sudah berdekad dikuburkan boleh dibeli dengan harga sekitar 5,000 yuan (RM3,200).

Mencuri mayat bukan sesuatu yang baru di China dan perkara ini telah berlaku bertahun-tahun lamanya dan kebiasaannya bermusim, bergantung kepada permintaan.

Xinhua melaporkan perbuatan pencuri mayat itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung berhampiran.

Di kampung Shengou, ada keluarga yang mula memindahkan kubur saudara-mara mereka yang terletak di kawasan pergunungan ke tempat yang hampir dengan rumah mereka.

Malahan ada yang mengupah orang untuk menjaga kubur keluarga mereka, memperkukuhkan kubur dengan memasang keluli serta meletakkan kamera di atas kubur.

JADI BAHAN NOVEL DAN FILEM

Adat China yang pelik ini juga memberi ilham untuk penghasilan cerita fiksyen termasuk novel Yangsze Choo, 'The Ghost Bride', berlatar belakangkan zaman penjajahan di Malaya pada abad ke-19.

Kisah ini adalah mengenai seorang wanita muda yang menerima lamaran daripada sebuah keluarga berada di Melaka untuk mengahwini anak lelaki mereka yang sudah meninggal dunia.

Satu lagi kisah yang mendapat inspirasi daripada perkahwinan dengan mayat ini ialah cerita animasi 'Corpse Bride', kisah seorang pemuda yang secara tidak sengaja berkahwin dengan mayat apabila berlaku kesilapan semasa latihan majlis perkahwinan. 

Tags / Kata Kunci: China , Xin Hua

iklan

Video

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 9:00 PM

Hafiz Keliru, Saya Tak 'Madukan' Suami - Joy Revfa

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Khamis, 12 Oktober 2017 9:54 AM

Ifa Raziah ‘Kejar’ Malique

Kolumnis

iklan

Iklan