Doktor Muda UK Mogok Lagi

Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 10:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Sekali lagi, ribuan doktor muda di hospital sekitar England mogok bagi membantah cadangan baharu yang digariskan berkaitan syarat dan bayaran kerja pada hujung minggu.

Mogok selama 24 jam diadakan kali pertama pada 12 Januari lalu. Satu mogok lain selama 48 jam yang dirancang pada 26 Januari lepas telah dibatalkan.

Kumpulan doktor melibatkan pelatih perubatan untuk menjadi pakar bagaimanapun masih melaksanakan tanggungjawab mereka dengan hanya merawat kes kecemasan sepanjang tempoh mogok 24 jam itu.

Susulan protes itu, kata Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), hampir 3,000 pembedahan terpaksa ditangguhkan.

Isu utama yang menjadi pertikaian antara doktor terlibat dan kerajaan tertumpu kepada status kerja pada Sabtu sama ada ia perlu dikategori dan dibayar sama seperti hari biasa.

Perdana Menteri, David Cameron berkata, pembaharuan itu perlu untuk NHS bagi mewujudkan tempoh bekerja tujuh hari seminggu yang mana kualiti rawatan pada hujung minggu menyamai hari bekerja biasa.

Menurut Perbadanan Penyiaran Britain, doktor-doktor tersebut menolak tawaran muktamad kerajaan itu.

Seorang doktor jantung di Hospital St Bartholomew, London, Abhishek Joshi berkata, kontrak kerja baharu itu akan membebaskan pengendali hospital daripada didenda sekiranya doktor-doktornya bekerja untuk syif yang panjang.

“Kami semua akan keletihan. Kajian menunjukkan doktor-doktor yang keletihan adalah lebih berbahaya daripada pemandu mabuk.

“Adakah anda mahu pemandu mabuk membedah anda?,” katanya.

Terdapat lebih 50,000 doktor muda di England, menyamai satu pertiga tenaga perubatan di negeri itu. – AFP


Tags / Kata Kunci: mogok , doktor , NHS , David Cameron

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan