Kerajaan Thai Cadang 31 Julai Pungutan Suara Mengenai Draf Perlembagaan

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 9:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Kerajaan Thailand mencadangkan 31 Julai depan untuk mengadakan pungutan suara yang ditunggu-tunggu, bagi membolehkan rakyat membuat keputusan sama ada menerima atau menolak draf perlembagaan yang digubal oleh suruhanjaya yang ditubuhkan.

Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngarm berkata walaupun tarikh itu  belum dimuktamadkan, tarikh akhir pungutan suara boleh sama ada dilanjutkan atau dipendekkan kepada tujuh hari mulai 31 Julai.

"Berkempen sama ada 'bersetuju atau tidak bersetuju' mengenai draf perlembagaan (sebelum pungutan suara) akan dibenarkan tetapi ia harus dijalankan mengikut undang-undang pilihan raya dan dalam suasana keamanan dan ketenteraman di negara ini," katanya kepada media di rumah kerajaan di sini.

Wissanu berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat dengan beberapa agensi berkaitan untuk mengadakan pungutan suara termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (EC), Biro Bajet dan lain-lain.

Timbalan Perdana Menteri Thai itu berkata terdapat kira-kira 50 juta rakyat Thai yang layak untuk mengundi semasa pungutan suara, daripada keseluruhan 67 juta penduduk.

Beliau berkata rakyat Thailand juga akan mempunyai lebih banyak masa untuk mengundi semasa pungutan suara kerana tempoh mengundi akan dilanjutkan selama satu jam dari waktu asal 8 pagi hingga 3 petang, kepada 8 pagi hingga 4 petang.

Mengenai bajet untuk pungutan suara, beliau berkata EC mencadangkan bajet berjumlah 4.2 bilion Baht (RM491 juta), tetapi kerajaan mahu jumlah itu dikurangkan kepada 3 bilion Baht (RM350 juta).

Beliau berkata EC akan menganjurkan forum awam sebelum pungutan suara bagi membolehkan orang ramai serta parti-parti politik untuk berbincang mengenai draf perlembagaan.

Mengenai soalan 'apa akan berlaku jika rakyat menolak perlembagaan', Wissanu berkata mesyuarat itu tidak menyentuh mengenai perkara tersebut kerana ia dianggap sebagai pelan tindakan berbeza.

Kerajaan tentera Thailand telah mencadangkan untuk mengadakan pungutan suara mengenai draf perlembagaan tahun ini, dan pilihan raya umum tahun depan, sebagai sebahagian daripada pelan tindakan untuk negara berkenaan kembali kepada sistem  demokrasi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan