13 Maut Apabila Bas Mini Dirempuh Komuter Di Jakarta Barat

Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2015 1:23 PM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Tiga belas orang maut apabila bas mini Metromini yang dinaiki mereka dirempuh komuter elektrik di laluan Kalideres-Grogol berhampiran Stesen Angke, Jakarta Barat di sini, Ahad.

Siaran berita televisyen tempatan melaporkan, akibat rempuhan itu bas mini yang cuba melintasi rel komuter berkenaan remuk setelah diseret sejauh 400 meter dalam kejadian 8.48 pagi itu.

Pegawai Hubungan Manusia syarikat KAI Commuter Jabodetabek, Eva Chairunnisa dipetik sebagai berkata bagaimanapun kesemua penumpang komuter terselamat.

Beliau berkata, kerja-kerja mengeluarkan bangkai bas yang tersepit pada bahagian kepala komuter itu masih dilakukan dan pihaknya masih belum boleh membuat kenyataan berhubung punca kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Seksyen Tambora, Wirdhanto berkata setakat ini polis mengesahkan 13 orang maut manakala tiga lagi parah. Kesemua mereka adalah penumpang bas mini terbabit.

Katanya, kesemua mengsa dihantar ke Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo, Jakarta Pusat dan hospital berhampiran.

Kemalangan itu mengakibatkan laluan menuju ke Angke di Jakarta Barat mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk sehingga sekarang. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: Metromini , Stesen Angke , Eva Chairunnisa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan