Pemimpin G20 Kutuk Serangan Di Paris, Bersatu Banteras Keganasan

Diterbitkan: Selasa, 17 November 2015 12:17 PM

(Ubah saiz teks)

ANTALYA (Turki): Pemimpin Kumpulan 20 (G20) mengutuk serangan keganasan baru-baru ini di Paris serta Ankara dan mereka kekal bersatu dalam membanteras keganasan, meningkatkan usaha menentang kegasanasan dalam semua bentuk dan lokasi ia berlaku.

Dalam kenyataannya bagi membanteras keganasan pada penutup Sidang Kemuncak G20 di sini hari ini, pemimpinnya menekankan bahawa keganasan tidak boleh dan tidak sepatutnya dikaitkan bersama mana-mana agama, kerakyatan, tamadun atau kumpulan etnik.

Mereka mengutuk sekeras-kerasnya, serangan kejam pengganas di Paris pada 13 Nov dan Ankara pada 10 Okt serta mengucapkan takziah kepada mangsa serangan pengganas dan keluarga.

Pemimpin G20 berkata pertubuhan keganasan yang berkembang dan peningkatan ketara dalam kegiatan keganasan global secara langsung menjejaskan usaha mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta membahayakan usaha berterusan untuk mengukuhkan ekonomi global dan memastikan pertumbuhan dan pembangunan yang mampan.

"Kami dengan jelas mengutuk kesemua tindakan, cara dan amalan keganasan yang tidak boleh dijustifikasikan dalam sebarang keadaan, tanpa mengira apa yang mendorong mereka, di dalam segala bentuk dan manifestasi, di mana dan oleh siapa yang melakukannya," kata mereka.

Pemimpin kumpulan berkenaan berkata usaha memerangi keganasan akan menjadi keutamaan kesemua negara anggota dan mereka bersetuju untuk bekerjasama bagi menghindar dan memberi tekanan kepada aktiviti keganasan menerusi peningkatan perpaduan dan kerjasama antarabangsa, dengan mengiktiraf sepenuhnya peranan utama Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Ini termasuk mengawal salunan pembiayaan pengganas, membanteras keganasan ekstrem, keradikalan dan pengambilan anggota baharu, menyekat pergerakan pengganas, membasmi propaganda pengganas dan menyekat pengganas daripada mempergunakan teknologi, komunikasi dan sumber untuk menggalakkan keganasan termasuk menerusi internet.

Penggalakan keganasan secara langsung atau tidak langsung dan menghasut perlakuan keganasan serta mengagungkan keganasan mesti dibendung, kata mereka.

"Kami bimbang dengan peningkatan kemasukan pengganas asing dan ancaman yang diberikan kepada kesemua negara, termasuk negara asal, transit dan negara destinasi.

Kami mengambil keputusan untuk menangani ancaman ini dengan meningkatkan kerjasama dan melakukan langkah-langkah sesuai untuk menghindar dan menangani fenomena ini," kata mereka.

Sidang Kemuncak G20 dianggotai negara Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Japan, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Tags / Kata Kunci: G20 , Paris

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan