Pil Kuda Untuk Pasaran Malaysia Bernilai 83 Juta Baht Dirampas

Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 8:19 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

NARATHIWAT: Pihak berkuasa di selatan Thailand menumpaskan dua rangkaian pengedaran dadah terbesar dan merampas hampir 684,000 biji pil kuda bernilai 83 juta baht yang dipercayai untuk pasaran di Malaysia.

Pil-pil kuda itu dirampas setelah polis mengadakan operasi di sebuah rumah milik seorang lelaki Pauzi Saleh, 52, di Mukim Munok, Daerah Sungai Golok, Narathiwat.

Ketua Polis Mukim Munok, Daerah Sungai Golok, Kolonel Prayuth Pongsanti berkata dalam serbuan itu, polis menemui 114 bungkusan dengan setiap satu mengandungi 6,000 biji pil kuda yang disembunyikan dalam sebuah kereta, dan sedia untuk diseludup ke Malaysia.

Hasil soal siasat, beliau berkata suspek mengakui bahawa pil kuda tersebut adalah milik adiknya Samran Baka, 42.

Polis bertindak menyerbu rumah Samran yang terletak berhampiran rumah Pauzi, dan menemui 4,000 lagi biji pil kuda, namun Samran telah melarikan diri menyeberangi sempadan ke Malaysia dengan keretanya ditinggalkan di sebuah lorong tikus di Munok.

Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jenderal Viwat Pratompark pada sidang media, pula berkata polis sedang meneliti sama ada rangkaian pengedaran dadah itu ada kaitan dengan satu lagi rangkaian yang ditumpaskan di Pattani kerana terbabit dengan pengedaran ubat batuk.

Dalam kes di Pattani pada Isnin, polis merampas lebih 60,000 botol ubat batuk. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: pil kuda , Narathiwat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan