Jerebu Semakin Tebal Di Selatan Thailand

Diterbitkan: Khamis, 22 Oktober 2015 10:52 PM

(Ubah saiz teks)

HAT YAI: Wilayah selatan Thailand mengalami keadaan berjerebu paling teruk setakat ini pada Khamis hingga memaksa orang ramai memakai penutup mulut dan hidung di mana sahaja mereka berada, dengan Indeks Pencemaran Udara (API) mencapai 373 dan merupakan paras 'sangat tidak sihat'.

"Udara seperti dipenuhi asap. Sebenarnya, kami sudah menghadapi keadaan serius ini sejak tiga hari lepas, tapi rasa saya, hari inilah yang paling teruk setakat ini.

"Matahari nampak seperti bulan disebabkan jerebu. Jarak kebolehlihatan juga sungguh dekat, contohnya, saya tidak dapat nampak dengan jelas bangunan tinggi yang terletak 500 meter dari saya," kata Kesarin Sirigun, 30, seorang pekerja pejabat di Hat Yai kepada Bernama.

Menurut Jabatan Kawalan Pencemaran tengah hari ini, udara di Hat Yai, yang terletak di wilayah Songkhla, dipenuhi asap dari Indonesia, yang melebihi paras selamat 120 mikrogram semeter padu.

Wilayah lain yang mengalami paras kualiti udara tidak sihat ialah Surat Thani dan Satun, dengan masing-masing mencatat bacaan API 187 dan 276.

Wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat juga terjejas oleh jerebu, yang masing-masing mencatat paras bacaan tidak sihat 211, 169 dan 125.

Bagaimanapun, wilayah Phang Nga dan Phuket mencatat kualiti udara sederhana, dengan bacaan API 87 dan 110, kata jabatan itu.

Bagi mengurangkan kesan jerebu, pihak berkuasa Thailand cuba menghasilkan hujan di wilayah Songkhla.
Selatan Thailand diramal diselubungi jerebu selama dua atau tiga hari lagi sekiranya tiada hujan.

Tujuh penerbangan dari Bangkok terlewat antara satu jam setengah hingga dua jam dan terpaksa menjadualkan waktu ketibaannya di beberapa lapangan terbang di selatan Thailand awal pagi ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Songkhla, Halem Chemarican, berkata keadaan jerebu yang semakin buruk membahayakan kesihatan penduduk, terutama kanak-kanak, golongan tua dan mereka yang mempunyai masalah respiratori.

Tinjauan Bernama mendapati jerebu mengubah rentak kehidupan harian penduduk Hai Yat apabila Arena Sukan Jiranakorn didapati sunyi pagi ini, berbeza dengan sebelumnya apabila ia sentiasa dipenuhi orang ramai yang beriadah.


Sementara itu, pihak berkuasa sekolah menasihati ibu bapa dan penjaga memastikan anak mereka memakai penutup hidung dan mulut apabila ke sekolah atau berada di luar bangunan untuk melindungi mereka daripada kesan buruk jerebu.
Tags / Kata Kunci: jerebu , IPU , selatan Thailand

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan