Nasa Bentang Rancangan Petempatan Manusia Di Planet Marikh Menjelang 2030

Diterbitkan: Jumaat, 9 Oktober 2015 9:59 PM

Perjalanan sehala dari Bumi ke Planet Marikh secara teorinya akan mengambil masa sekurang-kurangnya selama sembilan bulan.

(Ubah saiz teks)

WASHINGTON DC: Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) mengumumkan pada Jumaat bahawa mereka sedang menyiapkan kerangka untuk membentuk petempatan satu koloni manusia di Planet Marikh yang bebas sepenuhnya dari Bumi menjelang 2030.

Nasa mengumumkan mengenai rancangan mereka itu secara terperinci yang pada pandangan mereka boleh dilaksanakan dan berjaya.

Ia akan bermula dengan membentuk ‘kemudahan tempat kediaman' di angkasa lepas terlebih dahulu sebagai batu loncatan ke arah pembentukan koloni kekal di Planet Marikh kemudian.

Dalam rancangan tersebut yang dinamakan ‘Perjalanan Ke Marikh' Nasa menjelaskan, misi berkenaan bakal mencatat ‘langkah penerokaan pertama yang bersejarah' - sama sepertimana penerokaan masyarakat Eropah di benua Amerika dan juga pendaratan manusia di permukaan bulan.

“Sepertimana program Apollo, kami memulakan pengembaraan ini untuk manusia sejagat,” kata laporan yang disediakan oleh Nasa itu.

Tetapi menurut laporan itu lagi, tidak sepertimana Apollo, penerokaan ke Planet Marikh adalah untuk membentuk koloni manusia yang kekal di sana.

“Dan sebagai langkah pertama, dalam tempoh beberapa dekad akan datang, Nasa akan membentuk kemudahan tempat kediaman di ruang angkasa lepas sebagai langkah untuk menghantar manusia pertama ke Planet Marikh.

Untuk itu, Nasa perlu mencari calon-calon yang bersedia berkhidmat dan meneruskan kehidupan di angkasa lepas, jauh dari Bumi untuk satu tempoh masa yang tertentu.

Ia bukan opsyen untuk mereka yang ingin kembali ke Bumi dengan segera. Ini kerana sebarang langkah untuk mengembara ke Planet Marikh akan mengambil tempoh masa beberapa bulan.

“Langkah yang akan diambil hari ini dan dekad akan datang bakal menentukan asas yang kukuh ke arah penerokaan angkasa lepas dengan koloni manusia yang kekal. Hidup dan bekerja di angkasa lepas merupakan satu risiko yang besar tetapi jika ia dengan tujuan untuk membolehkan manusia bertapak dan bermastautin di Marikh, ia adalah satu langkah yang wajar untuk mengambil risiko," jelas laporan Nasa itu lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan