Thai Mahu Perbincangan Mengenai Jerebu - Berita Dunia | mStar

Thai Mahu Perbincangan Mengenai Jerebu

Diterbitkan: Selasa, 6 Oktober 2015 11:54 PM

Jen Prayuth Chan-ocha.

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Thailand mahukan perbincangan dua hala dan serantau mengenai jerebu diadakan selepas masalah akibat pembakaran terbuka di Indonesia kini menjejaskan selatan negara itu termasuk kawasan pelancongan Phuket dan Hatyai.

"Berikutan masalah kali ini lebih serius berbanding sebelumnya, saya sudah mengarahkan pegawai di Kementerian Luar berbincang dengan negara punca masalah ini dan bagaimana mereka boleh menanganinya," kata Perdana Menteri Thai, Jen Prayuth Chan-ocha dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Kabinet pada Selasa.

Di kawasan yang terjejas akibat jerebu, pihak berkuasa diminta menyembur air untuk mengurangkan jerebu dan topeng muka diberikan kepada penduduk, kata Prayuth.

Kebakaran terbuka dipercayai bermula di Sumatera, Indonesia mengakibatkan udara tidak sihat di Phuket dan Hatyai pada pukul 2 petang Selasa dengan masing-masing mencatat bacaan pencemaran udara 146 dan 156.

Bacaan tertinggi dicatat di daerah Muang, wilayah Satul iaitu 210 pada pukul 8 pagi, menurut Jabatan Kawalan Pencemaran pada Selasa.

Menteri Luar Thai, Don Pramudwinai berkata negara itu bersedia menyertai perbincangan mengenai jerebu jika dijemput.

"Jika ada perbincangan, ia pasti membantu untuk menyelesaikan masalah ini," katanya ketika ditanya jika terdapat kemungkinan perbincangan segera diadakan oleh negara terjejas.

Menurutnya setakat ini beliau belum tahu jika ada inisiatif mengadakan mesyuarat dengan negara seperti Indonesia, Singapura dan Malaysia. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Jen Prayuth Chan-ocha , jerebu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan