Serangan Bangkok: Polis Thailand Dedah Identiti Dua Individu

Diterbitkan: Isnin, 28 September 2015 10:00 PM

Lokasi insiden letupan bom di Kuil Erawan di Bangkok pada 17 Ogos lalu.

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Polis Thailand secara rasmi mengumumkan identiti dua lelaki yang disyaki bertanggungjawab dalam dua serangan bom berasingan di Bangkok bulan lepas. 

Lelaki berbaju kuning yang bertanggungjawab bagi serangan berdarah berhampiran kuil Erawan di persimpangan Ratchaprasong di tengah-tengah Bangkok pada 17 Ogos dikenal pasti sebagai Bilal Mohammed, manakala pengebom berbaju biru di Jeti Sathorn pada hari berikutnya dikenali sebagai Zubair.

Bilal, sebelum ini dikenali sebagai Adem Karadag, ditahan pada 29 Ogos di Apartmen Poonanan di daerah Nong Chok, Bangkok, selepas polis mengesan panggilan telefonnya, kata Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Somyot Pumpanmuang, pada sidang akhbar di ibu pejabat Polis Diraja Thailand di sini, Isnin.

Bilal pada mulanya ditahan kerana memiliki bahan membuat bom dan selonggok pasport Turki palsu yang kosong.

Penahanan Bilal membawa kepada penahanan seorang lagi suspek utama kes itu, Yusufu Mieraili, seorang Islam dari Xinjiang, China.

Yusufu ditahan di kawasan sempadan Thai-Kemboja di daerah Aranyapratet, wilayah Sakaew, pada 1 September ketika dia cuba melarikan diri ke Kemboja.

Bagaimanapun, Zubair, pengebom berbaju biru yang bertanggungjawab bagi serangan bom di Jeti Sathorn di Bangkok, adalah antara 15 suspek yang dikehendaki pihak berkuasa tetapi masih belum ditangkap, kata Somyot, dan menambah dua daripada suspek itu adalah warga Thailand.

Serangan bom berhampiran kuil Erawan itu mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan mengakibatkan 130 orang lagi cedera.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Chakthip Chaijinda berkata, Bilal tidak melarikan diri dari Thailand selepas serangan bom itu disebabkan dia sedang menunggu wang daripada dalang di sebalik serangan itu. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan