Croatia, Slovenia Tutup Sempadan Elak Imigran

Diterbitkan: Sabtu, 19 September 2015 10:10 AM

Pelarian menunggu di pintu sempadan Croatia apabila gagal melepasi kawalan untuk masuk ke negara itu.

(Ubah saiz teks)

ZAGREB: Selepas Hungary, terkini Croatia dan Slovenia pula bertindak menutup pintu sempadan dan laluan ke negara masing-masing berikutan kebanjiran pendatang asing.

Croatia menutup tujuh daripada lapan pintu sempadan dengan Serbia apabila lebih 11,000 pelarian mula membanjiri negara itu.

Slovenia yang berjiran juga menutup semua lalu lintas ke laluan utama dari Croatia termasuk menghentikan sebuah kereta api yang membawa kumpulan itu untuk ke se­belah sempadan Slovenia.

Setakat ini, hanya lintasan sempadan Bajakovo iaitu lebuh raya antara bandar Belgrade, Serbia dan Zagreb dibuka untuk laluan golongan itu.

Pemantauan yang dijalankan pihak berkuasa mendapati pelarian itu dapat menyusup ke negara itu selepas berjaya mengelak kawalan polis dan merentasi kawasan padang untuk masuk ke Slovenia melalui kereta api.

Kumpulan imigran berpusu-pusu masuk ke negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang turut dianggotai Croatia sejak dua hari lalu selepas Hungary bertindak tegas dengan membuat halangan pagar besi dan mengadakan kawalan polis yang melepaskan gas pemedih mata serta meriam air kepada golongan berkenaan.

Di sebuah stesen kereta api di timur sempadan Croatia dan Serbia, beribu-ribu imigran kelihatan terkandas kelmarin menyebabkan mereka terpaksa tidur di kawasan terbuka.

Menteri dalam Negeri Crotia, Ranko Ostojic memberi amaran kelmarin bahawa Croatia akan menutup sempadan negaranya dengan Serbia jika aliran masuk imigran terus berada pada kadar sama dan memberitahu negara itu sudah cukup kapasiti.

Sementara itu, Serbia melahirkan rasa kesal dengan tindakan Croatia yang menutup sempadan antara negara.

“Kita ingin memberi amaran bahawa tindakan Croatia dan negara lain yang menutup jalan antarabangsa adalah suatu yang tidak boleh diterima,” kata menteri yang menguruskan hal ehwal imigran, Aleksandar Vulin. – Reuters



Tags / Kata Kunci: Croatia , Slovenia , Serbia , imigran

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan