Polis India Buru Pemilik Bahan Letupan Akibatkan 88 Maut - Berita Dunia | mStar

Polis India Buru Pemilik Bahan Letupan Akibatkan 88 Maut

Diterbitkan: Ahad, 13 September 2015 5:14 PM

Keadaan runtuhan bangunan dalam insiden letupan di bandar Petlawad, India pada Sabtu. Foto AFP

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Polis India pada Ahad berkata, mereka sedang memburu pemilik bahan letupan yang disimpan secara haram sehingga mengakibatkan letupan di tengah bandar Petlawad yang mengorbankan sekurang-kurangnya 88 orang.

Seorang polis kanan, Sanjay Dubey berkata, Rajendra Kaswa didakwa kerana secara haram menyimpan bahan gelatin dan urea, di sebelah sebuah restoran dan persimpangan yang sibuk di bandar itu.

"Dia melarikan diri. Salah seorang daripada rakan suspek telah ditahan. Dia didakwa di bawah Akta Bahan Letupan," kata Dubey kepada Reuters.

Polis pada awalnya menyangka kemalangan itu disebabkan oleh silinder gas yang meletup di restoran itu sehingga mengakibatkan bahan letupan di sebelah premis tersebut meletup.

Bagaimanapun, pihak polis kini percaya ia berpunca dari gedung yang terletak bersebelahan dengan restoran di mana Kaswa menyimpan bahan letupan dan kimia.

Seorang pegawai polis kanan, Seema Alava berkata, Kaswa mempunyai lesen untuk bahan letupan tetapi menyimpannya terlalu dekat dengan sebuah restoran di kawasan yang padat dengan penduduk adalah tidak dibenarkan.

Sekurang-kurangnya 88 orang terbunuh dalam insiden letupan itu. - Reuters


   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan