Terdapat Kebimbangan Afghanistan Akan Jatuh Ke Tangan Taliban Semula

Diterbitkan: Selasa, 1 September 2015 4:50 PM

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani berhadapan dengan situasi yang sangat membimbangkan sekarang ini dengan kemunculan semula Taliban di mana-mana.

(Ubah saiz teks)

KABUL: Kini terdapat kebimbangan yang Afghanistan akan kembali jatuh ke tangan Taliban - sebahagian besarnya disumbangkan oleh kerajaan pusat yang lemah dan bertambahnya wilayah yang jatuh ke tangan puak pelampau itu semula.

BBC melaporkan, puak Taliban kini telah merampas sebahagian besar wilayah Helmand, termasuklah ibu negeri wilayah tersebut Musa Qala.

Mereka menjadi semakin kuat di wilayah Utara dan Timur Afghanistan dengan menguasai beberapa kawasan yang dianggap strategik.

Serangan hendap tanpa henti di ibu negara itu Kabul telah menyaksikan tidak kurang dari 100 orang terkorban sejak beberapa minggu yang lalu.

Rundingan di antara Kerajaan pusat dengan Taliban dengan Pakistan turut serta sebagai pemerhati tidak membawa sebarang perkembangan positif.

Sebaliknya pengumuman yang mengesahkan kematian pemimpin Taliban, Mullah Mohammed Omar pada 2013 awal Julai lalu mencetuskan kebimbangan yang Taliban akan melancarkan gerakan baru di bawah kepimpinan yang baru.

Ini semua muncul pada saat populariti Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani berada di tahap paling rendah iaitu jatuh daripada 50 peratus kepada hanya 38 peratus sementara populariti Perdana Menterinya, Abdullah Abdullah jauh lebih teruk daripadanya.

Korupsi dan kegagalan menguruskan pentadbiran menjadi isu besar di Afghanistan sekarang yang menyaksikan kerajaan gagal melaksanakan projek kad pengenalan sepertimana yang dijanjikan.

Laporan terkini menunjukkan jumlah warga Afghan yang berhijrah ke negara Teluk semakin meningkat dengan mereka yang mempunyai wang membeli kediaman di sana untuk meneruskan kehidupan baru di negara yang bebas dari peperangan dan pembunuhan harian.

Pada masa yang sama, masyarakat marhain Afghanistan kini menjadi warganegara yang ketiga terbesar di dunia selepas Syria dan Iraq  yang cuba memasuki Eropah sebagai pelarian politik.

Di medan pertempuran, tentera Afghanistan yang menerima latihan daripada pasukan keselamatan Nato bergelut dengan cabaran untuk menghalang kemaraan pejuang-pejuang Taliban malah tidak berupaya merampas semula wilayah yang jatuh ke tangan musuh.

Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika, jumlah pasukan keselamatan Afghanistan yang terkorban tidak mampu ditampung semula dengan anggota baru kerana tidak ada sukarelawan yang sudi ke hadapan untuk mengangkat senjata menentang Taliban.

Akhbar The New York Times melaporkan, sejumlah 4,100 anggota tentera dan polis Afghan telah terkorban sejak kebangkitan semula Taliban untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini manakala 7,800 lagi disenaraikan sebagai mengalami kecederaan teruk.

Jumlah ini, adalah 50% lebih daripada angka korban untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, era di mana hulubalang etnik berkuasa kini telah kembali semula di Afghanistan yang menyaksikan, mereka yang pernah mengetuai perang jihad di tahun-tahun 1980-an seperti Rashid Dostum, Atta Mohammed Nur dan ramai lagi mula mengumpulkan pasukan pejuang persendirian di merata-rata tempat.

Kebocoran berita mengenai kematian Mullah Omar ketika rundingan sedang berlangsung dengan kerajaan Afghanistan pada 7 Julai lalu di Pakistan yang cuba disembunyikan oleh Pakistan dan Taliban atas sebab yang mereka sahaja yang mengetahuinya telah menamatkan segala usaha perdamaian yang diinginkan.

Bukan itu sahaja malah seorang lagi figura yang dikehendaki oleh Amerika yang juga pemimpin puak Taliban, Jalaluddin Haqqani, turut disahkan telah meninggal dunia lebih setahun yang lalu.

Kematian Mullah Omar kini dikhuatiri akan mencetuskan perebutan kuasa di kalangan puak-puak Taliban itu sendiri dan kini sebahagian besar warga Afghanistan percaya yang Pakistan kini cuba meletakkan calon pilihan mereka sendiri, Mullah Akhtar Mohammed Mansour, sebagai pemimpin Taliban yang baru.

Ketiadaan ketelusan mengenai siapakah yang sebenarnya mengepalai Taliban sejak kematian dua pemimpin mereka yang disembunyikan ini telah mengecewakan kerajaan Afghanistan apatah lagi setelah mereka mengetahui yang Pakistan turut bersubahat menyembunyikan berita ini daripada pengetahuan mereka.

Kerajaan Afghanistan selama ini beranggapan mereka berada di meja rundingan dengan Pakistan dan Taliban atas kehendak Mullah Omar sedangkan dia sudahpun meninggal dunia pada tahun 2013.

Rakyat%2

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan