Militan Patani Kemuka Tiga Tuntutan Untuk Tamatkan Konflik

Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 8:48 PM

Awang Jabat. Foto ROHAIZAT MD DARUS / THE STAR

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan militan Patani, Majlis Syura Patani, mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan Thailand termasuk menjadikan dialog damai dengan mereka sebagai agenda nasional bagi menamatkan konflik di wilayah-wilayah selatan negara itu.  

Selain itu, mereka mahu kerajaan Thailand mengiktiraf Majlis Syura Patani atau Mara Patani sebagai organisasi sah.

"Kita juga mahu kerajaan Thailand memberikan imuniti kepada anggota Majlis Syura Patani, yang terlibat dengan proses dialog ke arah keamanan di wilayah-wilayah selatan, semasa proses rundingan dengan kerajaan Thailand," kata Pengerusi Majlis Syura Patani, Awang Jabat pada sidang media di sini, Khamis.

Seramai tujuh anggota majlis itu, yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand, menghadiri sidang media itu yang diadakan dalam bahasa Melayu dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Wakil-wakil media antarabangsa termasuk dari Thailand turut membuat liputan sidang media itu, yang menampilkan buat pertama kalinya anggota-anggota Majlis Syura Patani.

Majlis Syura Patani adalah gabungan enam kumpulan militan yang terdiri daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN), tiga pihak dalam Patani Liberation Organisation (Pulo), Gerakan Mujahideen Islam Patani dan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP).

Awang berkata, Majlis Syura Patani mengemukakan perkara itu pada pertemuan dengan wakil kerajaan Thailand dalam rundingan damai pusingan ketiga di sini.

Rundingan dua hari itu diadakan pada Selasa dan Rabu, dengan Malaysia menjadi fasilitatornya. Rundingan sama pernah diadakan di sini pada April dan Jun lepas.

Awang berkata, Majlis Syura Patani berpendapat amat penting bagi kerajaan Thailand menjadikan dialog damai sebagai agenda nasional berikutan kekerapan pertukaran kerajaan negara itu hingga menjejaskan proses sesi dialog damai itu.

"Ini menyebabkan proses dialog yang bertujuan mencari penyelesaian konflik di selatan Thailand tidak dapat dimuktamadkan dan terus berlarutan," katanya.

Ditanya maklum balas kerajaan Thailand berhubung tuntutan Majlis Syura Patani, Awang berkata, pihak belum mendapat sebarang reaksi daripada pihak kerajaan.

Beliau menjelaskan pihaknya mengemukakan ketiga-tiga tuntutan itu bagi melancarkan proses rundingan damai dengan kerajaan Thailand untuk menamatkan konflik di wilayah-wilayah selatan negara itu.

"Bagaimanapun, dengan tiga tuntutan baharu ini, ia tidak bermakna kumpulan militan Patani menggugurkan tuntutan yang diperjuangkan sebelum ini," tegasnya.

Awang berkata, tuntutan pihaknya supaya wilayah-wilayah Selatan Thailand yang diduduki majoriti masyarakat Patani diberikan kemerdekaan atau autonomi masih menjadi perjuangan utama Majlis Syura Patani.

"Kami masih menuntut keadilan dan kebebasan bagi rakyat Patani untuk menentukan masa depan mereka sendiri. 

"Sama ada mereka mahu keluar dari Thailand, diberikan lebih autonomi dalam urusan pentadbiran di wilayah selatan atau pun terus kekal dalam Thailand, biarlah rakyat Patani sendiri diberikan pilihan untuk menentukan perkara ini.

"Kami sebagai wakil mereka hanya menjalankan rundingan dengan kerajaan Thailand kerana kami percaya menerusi dialog damai ini sahaja dapat menyelesaikan konflik ini," katanya.

Kerajaan Thailand memberi mandat kepada Malaysia untuk menjadi fasilitator bagi dialog damai antara kedua-dua pihak itu berdasarkan persetujuan yang ditandatangani pada 28 Februari 2013.

Konflik di selatan Thailand, yang meliputi wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Songkhla berlarutan lebih sedekad lepas hingga mengorbankan ribuan nyawa dan kecederaan selain kemusnahan harta benda. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Patani , Majlis Syura Patani , Awang Jabat

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan