Letupan Bom: Polis Thai Terus Cari Bukti, Belum Ada Tangkapan

Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 11:00 PM

Papan iklan dilengkapi lakaran gambar suspek utama kes letupan bom di Bangkok minggu lalu.

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Polis Thai, yang tidak pasti sama ada suspek letupan bom di Kuil Erawan di sini masih berada di negara itu, mahu mendapatkan lebih banyak saksi dan bukti.

Polis memerlukan lebih banyak saksi dan bukti terutama rakaman televisyen litar tertutup (CCTC) bagi membantu siasatan dua insiden letupan bom di Bangkok minggu lepas, kata Timbalan Ketua Polis Thai, Jeneral Jakthip Chaijinda.

Katanya, keputusan ujian DNA suspek pengeboman Kuil Erawan yang diperolehi daripada duit kertas dan kenderaan awam tuk-tuk yang digunakannya, dijangka diketahui pada Rabu.

Bagaimanapun, lakaran wajah suspek pengeboman di dermaga Sathorn masih belum siap, katanya ketika memberi taklimat kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan siasatan kes itu.

Insiden bom di Kuil Erawan mengorbankan 20 orang dan mencederakan lebih daripada 130 mangsa, manakala tiada yang maut atau cedera dalam kejadian di dermaga Sathorn yang terletak di Sungai Chao Phraya.

Jakthip berkata kesimpulan awal pakar bom mendapati bahan letupan jenis TNT digunakan dalam kedua-dua insiden itu.

Sebelum mesyuarat itu, beliau berkata terdapat perkembangan dalam kes tersebut walaupun polis belum membuat sebarang tangkapan ke atas mana-mana suspek.

Jakthip juga berkata beliau tidak pasti sama ada suspek dalam rakaman CCTV di Kuil Erawan masih berada di negara itu.

Tags / Kata Kunci: Bangkok , Bom

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan