MH370: Carian Di Pulau Reunion Berakhir Isnin

Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2015 9:42 PM

(Ubah saiz teks)

SAINTE-MARIE (Perancis): Operasi mencari di laut dan udara bagi mengesan serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Pulau Reunion akan dihentikan pada Isnin depan selepas pencarian dilakukan lebih seminggu, kata pihak berkuasa tempatan.

Pegawai tempatan, Dominique Sorain berkata, sekiranya tiada objek yang ditemui menjelang Isnin depan, pihaknya akan bergerak ke "fasa untuk meningkatkan pengawasan".

"Tiada objek yang ditemui di laut yang mungkin milik pesawat itu," kata Sorain kepada pemberita pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, terdapat "sejumlah serpihan" ditemui di darat.

Ia telah diserahkan kepada pasukan penyiasat tetapi tiada sebesar bahagian sayap Boeing 777 yang ditemui di Pulau Reunion pada bulan lalu yang mana pihak berkuasa Malaysia mengesahkan ia adalah milik MH370.

Sorain berkata, operasi mencari bermula pada Jumaat lalu telah meliputi hampir 10,000 kaki persegi lautan.

Beliau menambah, polis menghabiskan 200 jam untuk mencari serpihan.

Pulau Reunion yang kecil di Lautan Hindi menjadi perhatian media di seluruh dunia apabila bahagian sayap pesawat yang dikenali sebagai flaperon ditemui di persisiran pantainya pada bulan lalu.

Pada 5 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan pakar mengesahkan secara konklusif bahawa serpihan berkenaan adalah dari pesawat malang yang hilang pada Mac 2014.

Bagaimanapun, pasukan penyiasat Perancis lebih berhati-hati dengan hanya mengatakan bahawa ia mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi bahawa flaperon itu adalah milik pesawat tersebut.

Keadaan itu menimbulkan kemarahan di kalangan waris mangsa dari seluruh dunia. - AFP

Tags / Kata Kunci: MH370 , Pulau Reunion

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan