Tiga Maut Serangan Pengganas Punjab - Berita Dunia | mStar

Tiga Maut Serangan Pengganas Punjab

Diterbitkan: Isnin, 27 Julai 2015 1:30 PM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Dua anggota polis dan seorang penumpang bas terbunuh apabila beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan secara rambang ke atas sebuah balai polis dan stesen bas di Gurdaspur, Punjab, kira-kira 400km dari sini awal Isnin, demikian menurut laporan media tempatan.

Sekurang-kurangnya 12 orang cedera parah dalam kejadian itu, kata mereka.

Dengan keadaan yang masih berlaku pada pukul 9.30 pagi (tengah hari di Malaysia), polis juga menemukan lima butir bom hidup di atas landasan keretapi bagi laluan Pathankot-Amritsar, tidak jauh dari balai polis Dinanagar di mana serangan pertama berlaku.

Dilaporkan bahawa penyerang yang terdiri daripada lima hingga enam orang berpakaian tentera, melepaskan tembakan ke atas sebuah bas bagi perjalanan ke Jammu pada 5.45 pagi, membunuh seorang penumpang dan mencederakan beberapa yang lain.

Beberapa lelaki bersenjata kemudian merampas sebuah kereta sebelum menyerang balai polis berdekatan, membunuh dua anggota polis yang bertugas, kata laporan media.

Dengan pihak polis dan tentera menjalankan operasi "pembersihan", pihak media melaporkan bahawa jumlah mangsa mungkin meningkat.

Sementara itu, anggota polis dan anggota para militari ditempatkan di ibu kota ini, terutama berhampiran Mahkamah Agung yang ditetapkan untuk mendengar permohonan Yakub Memon bagi menggantung pelaksanaan hukuman gantung ke atasnya pada 30 Julai berhubung kejadian letupan bom di Mumbai pada 1993 yang meragut 257 nyawa dengan 1,400 orang lagi mengalami kecederaan kritikal.

Tags / Kata Kunci: serangan , Punjab
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan