Cameron Tawar Sokongan Kepada Indonesia, Malaysia Tangani Ancaman IS

Diterbitkan: Isnin, 27 Julai 2015 10:07 AM

David Cameron.

(Ubah saiz teks)

LONDON: Perdana Menteri Britain, David Cameron dijangka menawarkan sokongan kepada Indonesia dan Malaysia dalam usaha membanteras pengaruh kumpulan militan Negara Islam (IS) ketika berkunjung ke Asia Tenggara pada minggu ini.

Beliau akan berkunjung ke Indonesia dalam rangka lawatan pertamanya ke luar negara sejak memenangi pilihan raya umum pada Mei lalu.

Cameron juga dijadualkan melawat Singapura, Malaysia dan Vietnam.

Lawatan itu bertujuan untuk meningkatkan hubungan perdagangan Britain di rantau ini.

Namun BBC dalam laporannya pada Ahad dipetik sebagai berkata, Cameron akan membangkitkan isu keganasan dalam pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa rangka lawatan empat hari itu.

Cameron dikatakan berminat untuk meneliti sama ada Britain boleh menawarkan sokongan anti keganasan kepada kedua-dua negara seperti menyiasat plot pengganas yang berpotensi dan meningkatkan keselamatan penerbangan, lapor BBC.

Perdana Menteri juga merancang untuk mempelajari usaha kedua-dua negara dalam menangani ideologi kumpulan pelampau dan menggalakkan toleransi dan mengkaji sama ada Britain boleh mendapat manfaat daripada pendekatan mereka.

Bercakap sebelum pemergiannya ke Indonesia, Cameron berkata IS adalah 'salah satu ancaman terbesar yang dihadapi dunia ketika ini.'


Tags / Kata Kunci: David Cameron , IS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan