Ini Wartawan Otai, Klasik

Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2015 4:06 PM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Usia mereka ini antara 50-an dan 60-an dan yang paling ketara tentang penampilan mereka ialah beg kain sandang serta buku nota kecil.

Mereka paling berdisiplin dengan waktu, selalu tiba di lokasi majlis tepat pada masanya sama ada menunggang motosikal atau beca auto.

Soal kerja, mereka ini akan bersungguh-sungguh mencari maklumat untuk menghasilkan berita yang bagus.

Mereka yang saya maksudkan di sini ialah wartawan otai India dan generasi wartawan ini masih setia menggunakan mesin taip.

Bagi mereka ini, yang tidak memiliki alat perakam suara, tab dan telefon berkamera seperti yang digunakan ramai pemberita yang hebat IT, mereka tetap unggul dalam dunia kewartawanan India.

Di Delhi, wartawan yang semakin berusia dan beruban rambutnya ini ramai bilangannya berbanding yang lebih muda terutamanya dalam media cetak.

Pertama kali saya masuk ke bilik media Press Information Bureau (PIB) selepas tiba di New Delhi awal tahun ini, saya memang nampak terdapat sekumpulan kecil wartawan berusia 20-an, 30-an atau pun 40-an. Wartawan otai yang saya sebut tadi nampak begitu ramai dan saya mendapati mereka ini mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidang masing-masing.

Bahasa badan mereka ketika bercakap bukti nyata bahawa mereka ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan.

Menurut PIB, biro yang bertanggungjawab mengeluarkan surat tauliah media, di New Delhi sahaja terdapat hampir 2,500 wartawan yang berdaftar secara rasmi bekerja dengan pelbagai media.

Selain Bahasa Inggeris dan Hindi, mereka ini bekerja di media cetak dan elektronik yang melibatkan hampir 52 bahasa utama di India.

Menurut seorang pegawai kanan, angka ini tidak termasuk beberapa ribu wartawan yang bekerja dengan majalah tempatan serta tabloid.

Dalam lingkungan media, wartawan otai ini dianggap sebagai "kamus bergerak" dan saya sendiri mendapati mereka ini amat membantu saya dalam meningkatkan mutu penulisan saya di samping memahami isu tempatan.

Selepas membuat banyak liputan dan menghadiri sidang media dengan wartawan otai ini, saya dapati mereka juga cekap dalam berkomunikasi dan tahu apa yang hendak disoal, bagaimana untuk menyoal dan sumber maklumat.

PENGALAMAN LUAS

Saya memang kagum dengan ilmu pengetahuan yang mereka miliki tetapi bagi wartawan otai ini, tidak ada yang istimewa tentang mereka kerana pengalaman bekerja menjadikan mereka cekap dalam kerja.

Bagaimanapun, mereka ada mengingatkan saya bahawa "buat kerja rumah" tentang isu serta fakta adalah penting bagi semua wartawan termasuk otai.

Saya kongsikan di sini kalau anda hendak tahu cara wartawan otai ini bekerja. Perkara ini saya lihat sendiri sewaktu sidang akhbar Menteri Hal Ehwal Luar India, Sushma Swaraj.

Sidang akhbar itu dihadiri hampir 200 wartawan, majoritinya wartawan kanan dan hanya sekumpulan kecil pemberita muda.

Saya lihat sedikit sahaja alat perakam suara di atas meja berhampiran menteri kerana wartawan otai hanya meletakkan keyakinan kepada kemampuan pendengaran serta daya ingatan mereka.

Sewaktu sidang akhbar yang diadakan lebih sejam, wartawan otai tadi melontarkan pelbagai soalan menjurus kepada dasar luar negara.

DI MANA WARTAWAN MUDA DI INDIA?

Jadi di mana wartawan muda India? Apakah bidang kewartawanan semakin luput di India?

Pemberita muda nampaknya telah disambar saluran berita TV yang penuh glamor serta media baru.

Menjadi wartawan penyiaran atau pembaca berita menjadi minat golongan muda di India.

Tugas ini mungkin lebih mudah memandangkan kewartawanan penyiaran tidak memerlukan kebolehan menulis seperti media cetak yang dikuasai wartawan otai.

Di negara yang mempunyai 1.2 bilion penduduk dan bekalan elektrik 24 jam masih tidak dapat dibekalkan di kawasan pinggir bandar, wartawan otai ini berpendapat masih terdapat masa depan untuk media cetak di India.

Mereka ini langsung tidak kisah dengan operasi "media baru" seperti portal berita atas talian, saluran berita TV dan lain-lain.

Sementara sambungan internet, telefon pintar dan peralatan media lain masih tidak dapat dinikmati ramai rakyat di India, harga akhbar masih lagi murah dan mudah dibeli di kebanyakan gerai teh di semua kejiranan.

BOLEH BERTAHAN

Meskipun bidang kewartawanan di India bukan karier yang menawarkan pendapatan yang tinggi, minat mendalam untuk menulis adalah faktor yang membuatkan wartawan otai ini masih kekal dengan profesion mereka.

Bagi mereka, dunia kewartawanan adalah kerjaya yang mulia dan tonggak keempat demokrasi.

Mereka juga amat dihormati dalam kalangan orang awam serta pegawai kerajaan.

Saya secara peribadi menganggap mereka sebagai mentor saya sepanjang saya berkhidmat di Delhi.

Tabik saya untuk wartawan otai India ini dan bagi saya, merekalah yang mewarnai kegemilangan dunia kewartawanan di India. 

Tags / Kata Kunci: India , Wartawan

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan