Peserta Program MTV Lakukan Ancaman Seperti Pengganas

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2015 9:59 AM

(Ubah saiz teks)

WASHINGTON: Seorang remaja yang membintangi program realiti di MTV, 'Catfish' ditahan pada Rabu selepas membuat ancaman seperti pengganas terhadap Stesen pengangkutan awam, kereta api, dan bas di sekitar ibu negara Amerika Syarikat.

Jerez Nehemiah Stone-Coleman, 20, atau lebih dikenali dengan nama panggilan 'Kidd Cole' dituduh membuat 11 panggilan palsu kepada pihak berkuasa pada bulan Disember tahun lalu sehingga Mei untuk memberi amaran mengenai ancaman bom pada rangkaian pengangkutan di Washington.

Menurut keterangan polis, maklumat yang diberikan mengenai ancaman tersebut adalah tidak benar dan setiap penipuan menyebabkan tindak balas kecemasan dibuat dan menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan transit.

Dalam satu panggilan yang dibuat pada 20 Januari menyatakan terdapat beberapa individu dari Perancis yang merancang untuk membunuh Presiden Barack Obama melalui satu serangan hendap dan kumpulan tersebut turut merancang untuk mengebom Stesen Metro Potomac Avenue.

Dua hari kemudian, panggilan diterima daripada individu yang sama menerangkan dia dan kawannya bercadang untuk merampas sebuah bas dan mengugut untuk membunuh tebusan di dalam bas tersebut sekiranya mereka tidak dibayar AS15 juta Dolar(RM54.75 juta).

Polis memberitahu, Stone-Coleman dikaitkan dengan kes tersebut setelah pihak polis membuat siasatan terhadap rekod telefon bimbit, pengawasan video digital dari stesen kereta api dan bas, serta audio telefon.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan pelanggan dan pekerja di Stesen Metro.

"Kes ini menunjukkan kesungguhan kami dalam mengambil serius segala ancaman dan kami akan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," kata wakil pihak polis.

Stone-Coleman membuat kemunculan dalam program MTV 'Catfish' yang menyiarkan tentang individu yang menyebarkan maklumat biografi palsu di laman sosial untuk menjalinkan hubungan dalam talian.


Tags / Kata Kunci: MTV , Amerika Syarikat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan