Zoo Jepun Mohon Maaf Namakan Anak Monyet Sempena Puteri Charlotte

Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2015 1:36 PM

Pusat Zoologi Semulajadi Takasakiyama di barat daya Jepun.

(Ubah saiz teks)

TOKYO: Sebuah zoo di barat daya Jepun membuat permohonan maaf selepas dikecam kerana menamakan anak monyet dengan nama Charlotte, yang dikatakan tidak menghormati puteri pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton.

Pusat Zoologi Semulajadi Takasakiyama yang terkenal dengan habitat monyet liar memohon maaf di laman webnya selepas tindakan itu mendapatkan kritikan orang ramai.

Japan Times melaporkan zoo yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai itu sering mendapatkan nama pilihan orang ramai untuk monyet yang pertama dilahirkan setiap tahun.

Nama Charlotte dikatakan menduduki pilihan utama apabila memperoleh 59 daripada 853 undian, dengan Kei (nama sempena pemain tenis Jepun, Kei Nishikori) dan Elsa (watak utama filem animasi Disney, Frozen) turut dipertimbangkan.

Nama anak monyet itu mendapat inspirasi daripada Charlotte Elizabeth Diana, nama anak kedua Putera William dan isterinya, Kate. Puteri kepada pasangan diraja itu dilahirkan pada 2 Mei lalu.

Bagaimanapun, keputusan itu memakan diri apabila zoo berkenaan dihujani panggilan telefon dan emel yang mendesak supaya menarik balik nama tersebut.

Menurut pegawai zoo yang terletak di pulau Kyushu itu, pihaknya berbincang mengenai perkara tersebut sambil menambah bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk menamakan semula anak monyet tersebut.

Kyodo News turut melaporkan bahawa pengadu meminta pandangan orang ramai di Jepun mengenai respons mereka sekiranya sebuah zoo di Britain menamakan seekor haiwan dengan nama ahli keluarga empayar Jepun. - The Straits Times/Asia News Network

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan