Seluar Terlondeh Ketika Cuba 'Selfie' Bersama Timbalan Perdana Menteri UK

Diterbitkan: Sabtu, 2 Mei 2015 8:28 AM

(Ubah saiz teks)

SEORANG remaja lelaki terpaksa menanggung malu apabila seluarnya terlondeh semasa cuba bergambar 'selfie' bersama Timbalan Perdana Menteri United Kingdom, Nick Clegg.

Portal Mail Online melaporkan William Carrie, 17, meminta timbalan perdana menteri itu untuk bergambar bersama di luar Kolej Solihull tengah hari Jumaat.

Bagaimanapun seluar jeans yang dipakai William terlondeh sehingga ke paras lutut semasa Clegg berdiri rapat dengannya untuk bergambar.

Clegg kemudiannya mengangkat tangan dan berlalu menuju ke sebuah bas.

Keadaan yang tidak disangka itu membuatkan muka William merah padam.

Bercakap kepada Mail Online petang Jumaat, pelajar Solihull menegaskan kejadian memalukan itu sebagai satu 'keadaan yang tidak disengajakan'.

William berkata, dia menuju ke kolej untuk berjumpa dengan rakannya sewaktu bertemu dengan Clegg tanpa menyedari timbalan perdana menteri itu sedang membuat lawatan.

"Saya menghampirinya untuk mengambil gambar kerana saya suka berjumpa dengan selebriti. Tetapi sebaik sahaja saya mahu mengambil gambar 'selfie', seluar saya terlondeh," katanya.

Tambah William, seluar jeans itu yang dipakainya sejak beberapa tahun.

Menurut William, dia perlu mendapatkan sepasang seluar yang baharu.

"Saya berasa sangat malu kerana kejadian yang berlaku benar-benar memalukan. Semua rakan mentertawakan saya dan ramai yang merakamkan kejadian yang berlaku," katanya. 

Clegg berjenaka mengenai kejadian yang berlaku di akaun twitternya.

William bagaimanapun bernasib baik kerana dia memakai seluar pendek "boxer' hitam di bahagian dalam ketika kejadian berlaku.

"Ia memang lucu tetapi ia benar-benar tidak disengajakan. Saya tidak pernah melakukan perkara seperti itu dengan sengaja.

"Saya mahu mohon maaf kepada Nick Clegg secara peribadi. Saya hanya mahu mengambil gambar bersamanya dan saya fikir beliau mungkin marah," jelas William.

Bagaimanapun, Clegg melihat perkara itu dengan berbuat jenaka menerusi kenyataannya di Twitter: "Ada segelintir yang tidak mengendahkan amaran saya supaya mengetatkan tali pinggang." - MAIL ONLINE

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan