Ribuan Mangsa Gempa Nepal Masih Hilang

Diterbitkan: Sabtu, 2 Mei 2015 10:17 AM

(Ubah saiz teks)

KATHMANDU: Beribu-ribu orang masih hilang di Nepal akibat gempa bumi yang melanda negara itu Sabtu minggu lalu.

Angka kematian setakat ini seramai 6,250 orang dan bilangannya terus meningkat.

Pasukan penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan mayat dari runtuhan bangunan.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat masih berhadapan dengan kesukaran untuk melakukan operasi di kawasan-kawasan yang lebih terpencil.

Kerajaan Nepal mengumumkan bilangan mereka yang cedera lebih 14,350 orang.

Banyak mayat yang tidak dituntut di Kathmandu, ibu negara Nepal terpaksa dikebumikan dengan segera bagi mengelakkan wabak penyakit dan bau busuk.

"Rumah-rumah mayat tidak dapat lagi menampung jumlah mayat yang banyak dan kita diarahkan untuk membakar mayat serta-merta selepas mereka dibawa keluar dari runtuhan bangunan," kata seorang pegawai separa tentera warga India, Rahman Lal yang bekerjasama dengan pasukan tentera Nepal.

Kebanyakan mayat merupakan pekerja asing dari negara jiran India, kata pegawai.

Ketua delegasi Kesatuan Eropah (EU) di Nepal berkata, jumlah rakyat Eropah yang masih hilang dianggarkan sehingga 1,000 orang, dengan kebanyakan mereka berada di sekitar laluan 'trekking' yang terkenal di Nepal.

Pegawai berkata, sukar untuk menjejaki mereka kerana kebanyakan 'backpacker' tidak berdaftar dengan kedutaan mereka.

"Ini tidak bermakna mereka telah dikebumikan. Mereka boleh meninggalkan negara ini (Nepal) tanpa memberitahu sesiapa sebelum kejadian gempa bumi berlaku, kata duta Rensje Teerink kepada pemberita. - REUTERS

Tags / Kata Kunci: Nepal

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan