Angka Kematian Gempa Bumi Nepal Dijangka Melebihi 10,000 Orang

Diterbitkan: Jumaat, 1 Mei 2015 11:06 PM

(Ubah saiz teks)

KATHMANDU: Jumlah kematian dalam kejadian gempa bumi kuat yang menggegarkan Nepal pada 25 April lepas, boleh melebihi 10,000 orang, menurut Tentera Nepal.

"Unjuran kami ialah jumlah mangsa yang terkorban boleh melebihi 10,000 orang," kata Panglima Tentera Darat Nepal Jeneral Gaurav Sumsher Rana dalam taklimat media kepada sekumpulan wartawan kanan di Kathmandu pada Jumaat.

Setakat ini, angka kematian mencecah 6,204 orang dan 13,932 lagi dilaporkan cedera.

"Bagaimanapun, angka ini sudah tentu meningkat kerana pasukan penyelamat terus menemui lebih banyak mayat mangsa," kata Rana.

Sebanyak 161,386 rumah mengalami kerosakan termasuk 24,182 yang musnah sama sekali.

Panglima Tentera Darat Nepal itu melahirkan rasa puas hati dengan operasi menyelamat dan bantuan tersebut.

"Kami telah melakukan yang terbaik semasa tragedi dahsyat ini walaupun mempunyai sumber yang terhad," katanya.

Beliau turut memuji masyarakat antarabangsa kerana menghulurkan bantuan kepada kerajaan Nepal dalam operasi menyelamat dan bantuan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan