Eksekutif Google Maut Dalam Runtuhan Salji Everest

Diterbitkan: Ahad, 26 April 2015 5:56 PM

Fredinburg (tengah) bersama dua daripada tiga lagi rakan sekerjanya yang mendaki Gunung Everest sebelum ditimpa musibah pada Sabtu.

(Ubah saiz teks)

SAN FRANCISCO: Seorang eksekutif Google Inc. adalah antara mangsa yang terkorban akibat kejadian runtuhan salji ketika mendaki Gunung Everest susulan gempa bumi yang melanda Nepal, Sabtu.

Dan Fredinburg terkorban dalam kejadian runtuhan salji yang telah memusnahkan sebahagian daripada kem tersebut.

Pengarah Privasi Google, Lawrence You berkata, tiga rakannya yang lain terselamat daripada runtuhan salji itu.

"Usaha sedang dilakukan untuk membawa mereka pulang dengan segera," katanya.

Lawrence turut mengumumkan kematian Fredinburg menggunakan laman sosial Twitter.

"Malangnya, kami kehilangan salah seorang kawan dalam tragedi ini. Dan Fredinburg, seorang ahli yang telah lama berkhidmat dalam Organisasi Privasi berada di Nepal bersama tiga lagi rakan sekerja untuk mendaki Gunung Everest. Dia telah meninggal dunia," kata Lawrence di Twitter.

Lawrence juga berkata Google.org telah menyumbang AS1 juta (RM3.6juta) kepada keluarga pekerjanya yang terbabit dalam tragedi itu.

Kakak Fredinburg, Megan menjelaskan abangnya terkorban akibat kecederaan parah di kepala ketika runtuhan salji itu.

Fredinburg adalah ketua makmal penyelidikan Google X, yang bertanggungjawab membangunkan projek seperti kereta yang boleh memandu dengan sendiri, Google Glass dan kanta lengkap.

Dalam pada itu, seorang pegawai tentera mengesahkan pasukan pencarian di kalangan askar India telah menemui 18 mayat di kawasan Gunung Everest pada Sabtu.

Jurucakap bagi Kementerian Pelancongan Nepal, Gyanendra Shrestha berkata dua khemah yang terdapat di kem tersebut dipenuhi pendaki yang cedera.

"Sekurang-kurangnya 1,000 pendaki termasuk 400 pendaki yang juga pelancong asing berada di kem atau sedang mendaki gunung ketika runtuhan salji itu berlaku," kata Shrestha.

Pegawai yang bertugas mengesahkan lebih daripada 1,800 terkorban akibat gempa bumi yang dianggap bencana terburuk yang berlaku dalam masa 80 tahun di negara itu.


Tags / Kata Kunci: Dan Fredinburg , Everest

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan