Morsi Berdepan Hukuman Mati, Penjara Seumur Hidup

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 12:10 PM

Mohammed Morsi

Mohammed Morsi

(Ubah saiz teks)

KAHERAH: Mahkamah Mesir dijangka mengumumkan keputusan pertama terhadap bekas Presidennya, Mohammed Morsi yang dikhabarkan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup pada Selasa.

Setakat ini, berita mengenai hukuman terhadap Morsi itu tersebar meluas susulan pertuduhan kerana menghasut pembunuhan terhadap penunjuk perasaan pada 2012.

Morsi turut berdepan hukuman sama dalam dua lagi perbicaraan termasuk dakwaan bersubahat dengan kuasa luar untuk mencetuskan kekacauan di Mesir yang dijangka diputuskan pada 16 Mei depan.

Menurut pakar perundangan, hukuman mati terhadap presiden pertama Mesir yang dipilih menerusi pilihan raya bebas itu tidak boleh ditolak kerana hakim sebelum ini menjatuhkan hukuman berat terhadap pemimpin Ikhwanul Muslimin.

Karim Bitar dari Institut Hubungan Strategik dan Antarabangsa berpusat di Paris berkata, Morsi mungkin dipenjara seumur hidup walaupun beliau terlepas daripada hukuman mati tersebut.

"Keadilan telah dipolitikkan dan keputusan jarang dibuat berdasarkan elemen objektif.

"Penyokong Morsi terus menjadi sasaran kerajaan sejak gerakan Ikhwanul Muslimin diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas pada 2013," katanya.

Dalam satu kenyataan lain, Profesor Pengajian Sains Politik di Universiti Kaherah, Kamel al-Sayyid pula menyifatkan tahap penindasan ke atas Ikhwanul adalah yang paling ekstrem dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Morsi digulingkan oleh ketua tentera pada masa itu tetapi kini presiden, Abdel Fattah al-Sisi, pada 3 Julai 2013 selepas tunjuk perasaan di jalanan terhadap pemerintah beliau selama setahun.

Pihak berkuasa baharu pada masa itu kemudian bertindak terhadap penyokong Morsi sehingga menyebabkan lebih 1,400 orang terbunuh dan ribuan lagi dipenjara.

Ratusan penyokong beliau sudah dijatuhi hukuman mati selepas perbicaraan besar-besaran singkat yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai "tidak pernah berlaku dalam sejarah".- AFP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan