Kes Bunuh: Bekas Bintang NFL Dipenjara Seumur Hidup

Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 10:08 AM

Hernandez dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana didapati bersalah membunuh dalam kejadian pada 2013.

(Ubah saiz teks)

FALL RIVER: Bekas pemain bola sepak liga kebangsaan (NFL) Amerika Syarikat, Aaron Hernandez dikenakan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh dalam kejadian yang berlaku di taman perindustrian di Massachusetts pada 2013.

Penghakiman itu menamatkan satu daripada dua perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya tahun ini.

Pada Rabu, juri mendapati Hernandez, 25 bersalah membunuh Odin Lloyd, yang juga teman lelaki adik tunangnya ketika itu.

Ketika perbicaraan di Mahkamah Daerah Bristol di sini, diberitahu bahawa kedua-dua, Hernandez dan Lloyd baru mengenali satu sama lain, bagaimanapun tindakan Lloyd bergaul dengan beberapa individu yang tidak disukai Hernandez menimbulkan kemarahannya.

Sebaik penghakiman dibacakan, Hernandez yang berdiri untuk mendengarnya tiba-tiba rebah dan pihak polis terus menggari tangannya, manakala ibu dan tunangnya menangis menyaksikan situasi itu.

Ahli keluarga Lloyd menyambut baik keputusan itu, bagaimanapun menganggap kehilangan Lloyd tentunya dirasai untuk tempoh lama.

"Kematiannya menyebabkan saya tidak akan berpeluang mendapat cucu daripadanya, juga tidak dapat menari pada majlis perkahwainannya," kata ibu Lloyd, Ursula Ward kepada pemberita.

The Patriots menamatkan kontrak bernilai US$41 juta bintang pasukan itu beberapa jam selepas dia ditahan pada 26 Jun 2013 iaitu sembilan hari selepas menemui mayat Lloyd.

Sepanjang tempoh testimoni selama empat bulan, juri mendengar keterangan 130 saksi yang memberitahu Hernandez adalah seorang penagih dadah jenis marijuana, memiliki senjata dan ada kalanya bersikap paranoia.

Antara saksi yang dipanggil memberi keterangan adalah bekas rakan Hernandez yang mendakwa ditembak di muka pada Februari 2013, Alexander Bradley hingga menyebabkan salah satu matanya buta.

Bagaimanapun, pasukan penyiasat gagal menemui pistol .45 kaliber Glock yang digunakan untuk menembak Lloyd, 27 yang juga pemain bola sepak semi profesional.

Pemilik pasukan Patriots, Robert Kraft ketika memberi keterangannya bagaimanapun memberitahu Hernandez tidak bersalah dan berada di sebuah kelab malam ketika kejadian pembunuhan itu berlaku.

Peguambela ketika hujahnya memberitahu mahkamah bahawa Hernandez berada di tempat kejadian pembunuhan itu tetapi sebagai saksi.

"Dia adalah saksi berusia 23 tahun yang terkejut menyaksikan pembunuhan seseorang yang dikenalinya," katanya peguambelanya, James Sultan.

Bagaimanapun, pihak pendakwa menerusi hujah balas berkata, Hernandez merancang kejadian itu.

"Dia percaya dapat membunuh Odin Lloyd dan tiada siapa yang akan percaya dia terbabit," kata Penolong Pendakwa Raya, William McMauley.

Hernandez juga didapati bersalah memiliki dua senjata secara haram apabila .22 kaliber ditemui dikediamannya di utara Attleborough, Massachusetts.

Hernandez juga berhadapan satu lagi perbicaraan pada awal ini di Boston apabila didakwa membunuh Daniel Abreu dan Safirdo Furtadi di luar kelab malam selepas salah seorang daripada mereka menumpahkan minuman dan terkenanya.


Tags / Kata Kunci: Aaron Hernandez , Odin Lloyd , NFL

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan