Restoran Beri Makanan Percuma Kepada Golongan Miskin Di Qatar

Diterbitkan: Isnin, 13 April 2015 3:50 PM

Pekerja asing menikmati makanan di restoran Zaiqa.

(Ubah saiz teks)

DOHA: Sebuah restoran sederhana yang popular di kalangan buruh asing meletakkan papan tanda di luar restoran tersebut yang berbunyi:"Jika anda lapar dan tiada wang, makanlah secara percuma!!!."

Terletak 16 kilometer dari menara kaca yang bergemerlapan di Doha, salah sebuah lokasi terkaya di dunia, wujud satu kawasan perindustrian dengan bengkel berskala kecil, kilang dan penginapan kos rendah.

Ia hanya mengambil masa selama 40 minit menggunakan kereta ke selatan pusat ibu kota Qatar yang dipenuhi kedai berjenama mewah dan restoran mahal.

Namun 'Kawasan Perindustrian' yang jarang dilihat oleh pengunjung luar adalah satu sisi berbeza Qatar- sebuah kawasan yang menyediakan buruh dan bekalan penting untuk pembangunan secara besar-besaran di negara itu.

Ia adalah margin kehidupan di Doha, kedua-duanya dari segi geografi dan metafora tetapi restoran yang dikenali sebagai Zaiqa melakukan sesuatu yang unik di negara yang kaya dengan hasil minyak itu.

Kira-kira tiga minggu lalu, pasangan adik-beradik warga India yang memiliki Zaiqa memutuskan untuk memasang papan tanda yang menawarkan makanan percuma kepada pelanggan yang tiada wang.

"Apabila saya melihat papan tanda itu air mata saya mengalir," kata salah seorang pemiliknya, Shadab Khan, 47, yang berasal dari New Delhi dan menetap di Qatar selama 13 tahun.

Beliau berkata idea itu dicetuskan oleh adik bongsunya, Nishab.

Shadab bergambar di hadapan restoran miliknya yang menawarkan makanan percuma kepada golongan kurang berkemampuan.


Restoran dengan 16 tempat duduk yang terletak di Street 23 itu diapit beberapa restoran lain dan sebuah bengkel besi.

Ia kawasan yang sibuk bertentangan dengan sebuah masjid dan jalan besar yang sering menjadi laluan trak besar.

Di dalamnya, jelas kelihatan meja makan yang dialas dengan pengalas berwarna terang yang tertulis perkataan 'masakan asli India dari Delhi'.

Ia dibuka 24 jam setiap hari.

Hidangan kari ikan berharga Qatar Riyal  ($1.65, 1.50 euro), sebiji telur panggang berharga tiga riyal dan bayam keju (Palak Paneer) 10 riyal untuk mereka mampu membayarnya.

Keperluan makanan percuma di Qatar adalah amat kritikal dikalangan buruh kasar.

Dianggarkan kira-kira 700,000 dan satu juta pekerja asing di negara itu daripada jumlah penduduk seramai 2.3 juta.

Kumpulan hak asasi manusia mengkritik syarikat di Qatar kerana tidak membayar gaji tepat pada masanya atau dalam beberapa kes tidak membayar terus gaji tersebut.

Kerajaan Qatar berhadapan tekanan untuk memperkenalkan pembaharuan gaji menjelang penganjuran Piala Dunia 2022, berjanji pada awal tahun ini untuk memaksa syarikat membayar gaji pekerja menerusi pemindahan bank secara terus.

Bahkan mereka yang mendapat bayaran akan berusaha untuk menghantar sebahagian besar wang mereka ke kampung halaman, kata salah seorang pelanggan restoran Zaiqa, Ghufran Ahmed yang juga mekanik warga Nepal.

"Ramai buruh memperoleh antara 800 hingga 1,000 riyal ($220-$275/200-250 euros) sebulan. Mereka perlu menghantar wang tersebut ke kampung halaman. Kos hidup di sini terlalu tinggi dan ramai pekerja memerlukan makanan percuma," katanya.

Shadab yang juga pembuat filem selain memiliki restoran itu berkata antara mereka yang meminta makanan kebanyakannya terdiri daripada pekerja pembinaan dari India, Nepal dan Bangladesh.

"Kami menyedari ramai orang di luar sana tidak mendapat bayaran gaji tepat pada masanya dan tidak mempunyai wang, walaupun untuk makan.

"Oleh itu, ramai orang datang ke sini dan hanya membeli sebungkus roti. Dan mereka hanya akan makan roti dengan air.

"Jadi kami sedar mereka tiada wang untuk apa-apa lagi. Mereka hanya membeli sebungkus roti yang berharga kira-kira satu riyal. Jadi kami akan cuba memberikan mereka makanan.

"Namun ia bukan mudah," kata Shadab.

Berikutan itu, dalam tempoh tiga minggu sejak pemberian makanan percuma bermula, 'bilangan orang yang datang ke sini untuk mendapatkan makanan percuma adalah dua atau tiga orang setiap hari."

Dalam perkembangan lain, menerusi pendedahan baru-baru ini terdapat beberapa pemilik gerai di Doha terpaksa menamatkan perniagaan mereka kerana tidak mampu membayar sewa.

Bagi Zaiqa juga, terdapat rintangan yang perlu mereka harungi.

Masa depan restoran itu turut diancam dengan pertikaian mengenai sewa dengan pemilik kedai dan mungkin terpaksa gulung tikar.

Shadab dan adiknya mempunyai rancangan lain untuk restoran mereka.

"Kami meletak peti sejuk di luar restoran, jadi ia tidak akan dikunci. Ia akan menghadap jalan raya dan akan dilengkapi dengan beberapa paket makanan.

"Jadi sesiapa yang mahukan makanan itu, mereka hanya perlu ambilnya dan tidak perlu masuk ke dalam restoran," katanya. - AFP

Tags / Kata Kunci: Doha , Zaiqa , makanan percuma

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan