Tayangan Filem 'Kokpit Dikunci & Hempas Pesawat' Selepas Nahas Germanwings Dikecam - Berita Dunia | mStar

Tayangan Filem 'Kokpit Dikunci & Hempas Pesawat' Selepas Nahas Germanwings Dikecam

Diterbitkan: Sabtu, 28 Mac 2015 6:52 PM

(Ubah saiz teks)

PENAYANGAN sebuah filem yang mempunyai adegan seorang pembunuh menguncikan dirinya sendiri di dalam kokpit dan kemudiannya bertindak menghempaskan pesawat, di United Kingdom (UK) pada Jumaat mencetuskan kemarahan orang ramai.

Portal berita Mirror melaporkan filem 'komedi hitam' dari Argentina, Wild Tales memaparkan satu adegan yang mempunyai 'persamaan' dengan tragedi nahas Germanwings yang berlaku pada Selasa lalu.

Komedi hitam bermaksud karya komedi yang menggunakan sandiwara atau adegan yang mengerikan. 

Wild Tales ditayangkan di UK pada Jumaat walaupun ramai peminat filem membuat desakan supaya penayangannya ditangguh atau dibatalkan bagi menghormati 149 mangsa yang terkorban akibat nahas yang dipercayai berpunca daripada tindakan pembantu juruterbang Germanwings, Andreas Lubitz.

Wild Tales yang dicalonkan untuk anugerah Oskar, menunjukkan adegan yang menakutkan apabila penumpang panik mengetuk dan cuba memecah pintu kokpit sebagai usaha untuk masuk ke dalamnya.

Walaupun ia sekadar 'komedi hitam', filem itu membawa maksud yang baharu berikutan nahas pesawat yang menggemparkan dunia minggu ini.

Filem yang diterbitkan pada 2014 itu menghimpunkan enam cerita pendek bermula dengan dua penumpang yang menaiki sebuah pesawat berbual sebelum kedua-duanya menyedari mereka dijemput oleh individu yang sama. - Mirror


Tags / Kata Kunci: Wild Tales , Germanwings

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan