Rakyat Singapura Perlu Hargai Legasi Kuan Yew - Presiden Tony Tan

Diterbitkan: Isnin, 23 Mac 2015 10:15 AM

Rakyat Singapura memenuhi ruang Hospital Besar negara itu sebaik mengetahui berita kematian Lee Kuan Yew pagi Isnin.

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Presiden, Dr Tony Tan Keng Yam berkata, rakyat Singapura terhutang budi buat selama-lamanya kepada mendiang perdana menteri pengasas Lee Kuan Yew.

"Penghargaan terbesar yang rakyat Singapura boleh membalas kepada jasa beliau ialah dengan menghargai dan membina legasi yang telah Encik Kuan Yew dan pasukannya tinggalkan untuk kita serta menjadikan Singapura rumah yang lebih baik untuk generasi masa depan kita," kata Tony Tan dalam surat takziah kepada anak Kuan Yew, Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

"Bagi pihak rakyat Singapura, saya ingin menyampaikan takziah yang amat mendalam kepada anda dan keluarga anda di atas kematian bapa anda yang tersayang, Encik Lee Kuan Yew," katanya dalam surat itu yang dikeluarkan pihak Istana.

Tan berkata, Kuan Yew telah menumpukan seluruh hayatnya untuk Singapura bermula sebagai penasihat undang-undang kepada kesatuan buruh sekitar 1950-an selepas tamat pengajian dari Universiti Cambridge, sehingga peranannya sebagai arkitek kepada negara republik yang moden.

"Hanya segelintir yang dapat menunjukkan komitmen menyeluruh kepada perjuangan yang lebih besar dari diri mereka sendiri," katanya.

Kuan Yew dipilih menduduki Dewan Perundangan British pada 1955 dan menjadi perdana menteri Singapura yang pertama selepas membawa kemenangan kepada parti PAP dalam pilihan raya umum 1959, apabila Singapura menerima pemerintahan sendiri.

Tanpa pandangan jauh beliau dan usaha berterusan demi pembangunan Singapura,  Tan berkata Singapura yang kita kenali hari ini tidak akan wujud.

"Singapura merupakan impiannya dan beliau terus berkhidmat untuk Singapura hingga ke akhir hayatnya.

"Pada masa itu negara menghadapi masalah pengangguran yang tinggi, infrastrukur yang lemah dan persekitaran dalaman yang sukar," katanya.

Bagi membolehkan Singapura memperoleh tanah, air dan sumber asli, Tan berkata Kuan Yew telah membawa Singapura menyertai Persekutuan Malaysia,  sebelum mengisytiharkan merdeka daripada Britain pada 1963.

Namun masalah menjadi bertambah buruk apabila Singapura hilang ekonomi dalamannya selepas terpaksa berpisah daripada Malaysia pada 1965, katanya.

Tan berkata: "Ramai yang meragui sekiranya Singapura boleh bangun sebagai sebuah negara tetapi Kuan Yew menyatupadukan kita semua dan mengetuai rakan-rakan kabinetnya untuk membina angkatan tentera, membangun infrastruktur dan mentransformasi Singapura dengan jayanya sehingga menjadi metropolis global".

-- Bernama
Tags / Kata Kunci: Lee Kuan Yew , Tony Tan , Singapura

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan