Tentera Filipina Tahan Ketua Pemberontak, Ali Tambako

Diterbitkan: Isnin, 16 Mac 2015 2:12 PM

(Ubah saiz teks)

MANILA: Tentera Filipina berjaya menahan ketua sebuah kumpulan pemberontak di selatan negara itu yang dikaitkan dengan pengeboman dan penyembelihan tawanan serta dituduh melindungi dua pengganas yang dikehendaki oleh Amerika Syarikat, kata pegawai pada Isnin.

Suspek, Mohammad Ali Tambako serta lima konconya ditahan ketika mereka menaiki teksi motosikal untuk ke pelabuhan di selatan Bandar General Santos.

Menurut satu laporan polis, tiga bom tangan dan dua senjata api dirampas daripada ketua dan ahli kumpulan pemberontak tersebut.

Mohammad Ali yang dilapor membentuk kumpulan pemberontak bersama 70 pejuang bersenjata pada tahun lepas turut disyaki memberi perlindungan kepada pengganas dikehendaki yang juga pakar bom dari Malaysia, Zulkifli Hir atau  Marwan dan Abdul Basit Usman (pengganas warga Filipina).

Amerika Syarikat dan Filipina sebelum ini telah menawarkan ganjaran besar kepada pihak yang berjaya untuk menangkap dan mendakwa Marwan dan Usman.

Bagaimanapun, Marwan dilaporkan terbunuh dalam satu serbuan pada 25 Januari lalu oleh polis komando anti-keganasan Filipina di kawasan tengah selatan negara itu.

FBI pada Februari lalu mendakwa analisis DNA mendapati Marwan merupakan militan yang dibunuh oleh komando Filipina tetapi mereka memerlukan ujian tambahan bagi mengesahkan kematiannya.

Tags / Kata Kunci: Filipina

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan