Mahkamah Tangguh Keputusan Kes Senjata Api Salman Khan

Diterbitkan: Rabu, 25 Februari 2015 7:15 PM

Salman Khan

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Mahkamah Majistret di Jodhpur, Rajasthan, menangguhkan kepada 3 Mac untuk memberi keputusan, yang sepatutnya diumumkan Rabu bagi kes pemilikan senjata api secara haram oleh pelakon Bollywood Salman Khan ketika berburu pada 1998.

Media tempatan melaporkan bahawa pengumuman keputusan perbicaran kes itu ditangguhkan setelah pihak pendakwaan memfailkan afidavit baharu.

Pihak pendakwaan berkata mereka perlu membuat pemeriksaan semula terhadap sebahagian daripada 16 saksi pendakwa dan akan mengemukakan bukti baharu.

Terdahulu, media melaporkan bahawa pelakon berusia 49 tahun itu akan hadir di mahkamah pada Rabu apabila mahkamah mengumumkan keputusannya. Penangguhan itu mengecewakan para wartawan dan peminat Salman Khan yang memenuhi kawasan mahkamah.

Sebelum ini, Salman Khan disabitkan kesalahan bagi dua tuduhan iaitu memburu dan membunuh rusa diancam kepupusan ketika membuat penggambaran untuk filemnya, Hum Saath Saath Hain, pada 1998.

Menurut fakta kes, dua rusa jenis blackbucks, yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar, mati di pinggir kampung Kankani dekat Jodhpur.

Dalam satu daripada kes itu, Salman Khan didakwa membawa senjata api yang luput tempoh lesennya.

Hindustan Times melaporkan bahawa mahkamah merampas raifal dan revolver Salman Khan ketika beliau pertama kali dituduh memburu secara haram dan menggunakan lesen yang tamat tempoh.

Tuduhan baharu dikenakan terhadapnya tahun lepas apabila Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung Rajasthan memutuskan bahawa akta senjata api tidak boleh diguna pakai terhadapnya, dan memerintahkan kes itu kembali dibicarakan di mahkamah lebih rendah.

Pada Januari tahun ini, Mahkamah Agung membatalkan satu perintah mahkamah agar hukuman penjara lima tahun terhadap Salman Khan berhubung kes berburu secara haram, ditangguhkan.

Pada 2013, Mahkamah Tinggi Rajasthan menangguhkan pelaksanaan sabitan kesalahan dan hukuman penjara lima tahun terhadap pelakon itu.

Tags / Kata Kunci: Salman Khan , senjata api , Kankani

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan