Wartawan Perang Veteran Amerika Bob Simon Terbunuh Dalam Kemalangan

Diterbitkan: Khamis, 12 Februari 2015 6:52 PM

Bob Simon ketika dibebaskan sebagai tawanan perang Iraq.

(Ubah saiz teks)

> Dia adalah koresponden rancangan '60 Minutes' yang popular

> Rakan sekerjanya menitiskan air mata ketika membaca berita mengenai kematiannya

> Bob Simon terselamat dalam semua medan peperangan yang diliputinya tetapi menemui ajal di jalan raya

> Dia adalah penumpang sebuah teksi ketika kemalangan itu berlaku

> Telah memenangi 27 Anugerah Emmys sepanjang kerjayanya

NEW YORK: Wartawan perang terkemuka Amerika, Bob Simon yang boleh dikatakan berada di kesemua medan konflik selepas era Perang Dunia Kedua akhirnya menemui ajal di atas jalan raya akibat kemalangan kereta di tengah-tengah bandar raya ini, pada lewat Rabu.

Mendiang berusia 73 tahun.

Simon yang berkhidmat sebagai koresponden berita untuk rancangan '60 Minutes' terbitan stesen televisyen popular Amerika, CBS, berada di dalam sebuah teksi apabila kemalangan yang melibatkan sebuah lagi kenderaan itu berlaku.

Teksi yang dinaikinya itu kemudiannya merempuh penghadang jalan menyebabkan ia remuk teruk.

Rempuhan yang kuat itu menyebabkan Simon tidak sedarkan diri dan diisytiharkan meninggal dunia sebaik sahaja dia tiba di Hospital St Luke’s-Roosevelt.

Polis yang tiba di tempat kejadian terpaksa mengergaji bumbung teksi tersebut dalam usaha untuk menyelamatkan Simon serta pemandu teksi itu.

Pemandu teksi tersebut yang berusia 44 tahun mengalami patah tulang pada kedua-dua belah kaki serta sebelah tangannya. Dia dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah kereta Mercedes yang dipandu oleh seorang lelaki muda berusia 23 tahun. Dia hanya mengalami kecederaan ringan.

"Teksi itu membelok secara tiba-tiba kearah saya, lalu menghentam kereta saya," kata pemandu kereta Mercedes itu sebagaimana yang dipetik oleh akhbar the New York Post.

Simon, boleh dikatakan terselamat dari semua medan perang yang pernah dia liputi termasuk perang Vietnam, Iraq, perang saudara di Portugal, konflik di Cyprus, perang Kepulauan Falkland, krisis di Yugoslavia, Grenada, somalia dan Haiti.

Tetapi namanya hanya terkenal apabila menjadi tawanan perang di Iraq selama 40 hari yang menyaksikan dia diseksa dan dipukul dengan batang buluh, cota dan belantan serta tidak diberi makan selama beberapa hari.

Selepas dibebaskan dia telah menulis buku mengenai pengalamannya sebagai tawanan perang dengan judul 'Forty Days' (40 Hari).

Rakan sekerjanya di CBS, Scott Pelley ketika mengumumkan kematian Simon dalam siaran berita tidak dapat menahan sebak lalu menitiskan air mata.

"Kita kehilangan seorang rakan dan wartawan perang paling hebat iaitu Bob Simon dalam satu kemalangan pada lewat petang Rabu," kata Pelley.

Simon dilahirkan pada 29 Mei 1941, di Bronx, di sini, dan merupakan seorang graduan Universiti Brandeis dalam jurusan sejarah pada tahun 1962.

Dia memulakan kerjayanya di CBS pada 1967 dan dua tahun kemudian mula berkhidmat dengan perkhidmatan biro luar negara stesen televisyen tersebut.

Simon adalah koresponden di Saigon pada kemuncak perang Vietnam dan menjadi salah seorang wartawan dan warga asing yang terakhir meninggalkan bandar itu sejurus sebelum ia jatuh ke tangan tentera komunis Vietkong.

Pada tahun 1987, Simon menjadi ketua koresponden CBS untuk Timur Tengah dan mencipta nama apabila dia ditangkap oleh tentera regim Saddam Hussien ketika kemuncak perang Iraq-Kuwait.

Apabila program berita '60 Minutes' diperkenalkan pada 1998, Simon adalah salah seorang pengasasnya dan menjadi tonggak utama program tersebut.

Menerusi program itu dia telah memenangi 27 Anugerah Emmys.

Untuk edisi '60 Minutes' Ahad ini, Simon dan anak perempuannya, Tanya, yang juga merupakan penerbit program tersebut sedang menyiapkan laporan khas mengenai wabak Ebola.

Penerbit Eksekutif '60 Minutes' Jeff Fager berkata, kematian Simon adalah satu kehilangan besar buat keluarga CBS malah ia adalah satu tragedi kerana mereka semua kehilangannya dalam satu kemalangan jalanraya, sedangkan dia terselamat dalam situasi yang lebih sukar ketika membuat liputan di medan perang.

"Bob adalah wartawan di kalangan wartawan itu sendiri...dia sentiasa didorong oleh perasaan ingin tahu semulajadi yang telah membawanya ke semua medan perang dan konflik besar dunia," ujar Fager sambil menambah "tidak ada wartawan perang sepertimana Bob Simon."


Tags / Kata Kunci: Bob Simon , '60 Minutes' , CBS , New York Post , Saigon , Vietnam

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan