Bogel: Dua Beradik Diusir

Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 1:30 PM

(Ubah saiz teks)

PHNOM PENH: Dua bersaudara warga Amerika yang ditangkap kerana merakam gambar bogel masing-masing di kompleks kuil Angkor yang terkenal di Kemboja diusir balik ke negara asal, menurut pegawai pada Ahad.

Lindsey Adams, 22, dan adiknya Leslie, 20 dikesan melakukan perbuatan itu dalam kuil Preah Khan yang terletak dalam kawasan Tapak Warisan Dunia itu pada Jumaat.

Kejadian ini adalah yang kedua dalam masa dua minggu. Sebelum ini, tiga pelancong Perancis ditangkap dalam keadaan bogel di lokasi berkenaan.

Mereka juga dihalau dari negara itu hujung minggu lalu selepas mengaku salah mengambil gambar bogel di salah satu kuil di situ.

Mereka dijatuhi hukuman penjara enam bulan yang ditangguhkan pelaksanaannya, selain diharamkan daripada memasuki Kemboja selama empat tahun.

Aksi bogel pelancong itu yang terbaru mencetuskan kemarahan penduduk di negara ini.

Pendakwa raya Mahkamah Wilayah Barat Laut Siem Reap, Koeut Sovannareth memberitahu AFP, kedua-dua beradik itu dikenakan hukuman penjara enam bulan yang ditangguhkan dan dilarang masuk ke negara itu selama empat tahun.

"Mahkamah memutuskan untuk mengusir mereka dari Kemboja.

“Kedua-duanya mengaku melakukan kesilapan apabila mengambil gambar bogel,” katanya.

Jurucakap Apsara, Chau Sun Kerya berkata, tindakan mereka menyinggung penduduk negara ini kerana Angkor dianggap tanah suci.

“Mungkin mereka tidak tahu Angkor ialah tapak suci. Tetapi tindakan mereka menjejaskan kesucian tempat ini,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan