Thailand Ketatkan Keselamatan, Suspek Letupan Bom Pada Ahad Diberi Amaran - Berita Dunia | mStar

Thailand Ketatkan Keselamatan, Suspek Letupan Bom Pada Ahad Diberi Amaran

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2015 9:54 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha berkata, mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden letupan bom di bahagian tengah Bangkok pada malam Ahad akan menghadapi tindakan undang-undang.

"Ini adalah amaran awal," kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan kabinet di sini, Selasa.

Beliau berkata, anggota tentera bersama pasukan keselamatan yang lain akan dikerah ke kawasan-kawasan berisiko untuk menjaga keamanan.

Katanya, sesetengah orang mengambil tindakan itu kerana mereka menyangkakan kerajaan tidak akan mengambil tindakan tegas.

Prayuth berkata, beliau dimaklumkan oleh agensi-agensi keselamatan mengenai perkembangan terkini dengan rakaman daripada kamera pemantauan memaparkan imej suspek atau beberapa suspek.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan termasuk sama ada insiden itu mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan.

Dua letupan daripada bom paip pada Ahad di hadapan pusat beli-belah Siam Paragon, kawasan tarikan pelancongan yang terkenal di tengah Bangkok, merupakan insiden pertama seperti itu sejak tentera melancar rampasan kuasa pada 22 Mei, tahun lepas.

Thailand masih di bawah undang-undang tentera tetapi hanya sedikit atau hampir tidak ada sekatan dalam kehidupan harian rakyat.

Prayuth menugaskan Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) untuk menangani isu keselamatan seperti pengerahan pasukan keselamatan di kawasan-kawasan berisiko.

Bagaimanapun beliau berkata, majlis itu perlu memberi penjelasan kepada rakyat bahawa mereka tidak perlu berasa takut walaupun undang-undang keselamatan masih berkuatkuasa.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan