Kemangkatan Raja Abdullah: Pemimpin Dunia Ucap Takziah

Diterbitkan: Sabtu, 24 Januari 2015 11:35 AM

Kerabat diraja Arab Saudi mengusung jenazah Raja Abdullah Abdulaziz ke tanah perkuburan untuk dimakamkan selepas solat Jumaat.

(Ubah saiz teks)

RIYADH: Pemimpin dunia menyampaikan ucapan takziah berikutan kemangkatan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz pada awal pagi Jumaat.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam kenyataannya menyifatkan almarhum sebagai pemimpin yang tegas dan berani.

“Beliau percaya hubungan antara Arab Saudi dan AS penting dalam mengekalkan kestabilan dan keselamatan di Asia Barat,” kata Obama.

Selain Obama, Setiausaha Negara AS, John Kerry pula berkata, kemangkatan pemerintah Arab Saudi itu sebagai hari yang sedih untuk AS.

“AS kehilangan seorang rakan, manakala Arab Saudi, Asia Barat dan dunia pula kehilangan seorang pemimpin yang dihormati. Baginda ialah seorang pemimpin yang bukan sahaja bijaksana tetapi berwawasan,” ujar Kerry.

“Raja Abdullah berbangga dengan perjalanan yang dilalui Arab Saudi. Baginda adalah rakan yang berani dalam menentang fahaman ekstremisme dan terbukti penyokong utama perdamaian,” tambahnya.

Kerry juga berkata, almarhum berbangga dengan tugas sebagai penjaga dua tanah suci dan menjadi pemimpin kepada rakyatnya.

Ucapan takziah turut disampaikan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon yang menujukan ucapan itu kepada keluarga Raja Abdullah dan rakyat Arab Saudi.

“Raja Abdullah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negaranya dan di bawah kepimpinan baginda selama berdekad, merangkumi pelbagai jawatan dalam kerajaan, Arab Saudi telah mencapai kemajuan luar biasa dan kemakmuran untuk rakyatnya,” jelas Ki-moon.

Setiausaha Agung PBB itu turut memuji usaha Raja Abdullah menangani cabaran serantau dan antarabangsa semasa era pergolakan dan perubahan pantas masa kini, selain usaha baginda untuk menggalakkan dialog antara agama-agama di dunia.

“Kepimpinan Raja Abdullah akan diingati di seluruh tanah Arab dan dunia Islam serta oleh masyarakat antarabangsa,” ujarnya. 

Malaysia turut diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membatalkan programnya di Forum Ekonomi Dunia, Davos untuk memberi penghormatan terakhir pada pemakaman Raja Abdullah Abdulaziz, Jumaat.

Najib juga menyampai ucapan takziah Yang di-Pertuan Agung, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah kepada kerajaan dan rakyat Arab Saudi atas kemangkatan Raja Abdullah Abdulaziz.





iklan

Kolumnis

iklan

Iklan