Dua Suspek Pengganas Rancang Serang Belgium Ditembak Mati

Diterbitkan: Jumaat, 16 Januari 2015 11:51 AM

Pasukan forensik Belgium memeriksa kawasan di mana dua pengganas ditembak mati, Khamis malam.

(Ubah saiz teks)

BRUSSELS: Dua suspek dipercayai anggota militan ditembak mati pada Khamis malam dalam serbuan pasukan anti pengganas yang disyaki sedang merancang untuk melancarkan serangan di Belgium.

Tindakan pantas polis Belgium itu turut menahan seorang lagi suspek dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan berhampiran stesen kereta api bandar Verviers yang terletak berdekatan sempadan Jerman.

Pihak keselamatan negara itu juga mendapat maklumat mengenai sekumpulan 10 orang yang dipercayai sedang merancang untuk melancarkan serangan di negara itu.

Insiden ini berlaku selepas tiga kejadian berdarah serangan militan di Paris yang keseluruhannya meragut 17 nyawa, minggu lalu.

Media asing melaporkan, operasi itu menyasarkan lokasi persembunyian sekumpulan pemuda Eropah yang didakwa baru pulang dari Syria dan juga beberapa serbuan lain di sekitar kota ini.

Menurut jurucakap pejabat pendakwaraya, Eric Van der Sypt berkata, setakat ini tiada hubungan dikesan antara kumpulan yang ditembak itu dengan penjenayah dalam insiden di Paris.

"Siasatan bermula beberapa minggu lalu, sebelum kejadian di Paris lagi," katanya sambil menambah semua suspek miliki kewarganegaraan Belgium.

Beliau juga menegaskan, tindakan pihak keselamatan negara itu hanya beberapa jam sebelum serangan itu dilancarkan.

Ketika serbuan dibuat, suspek dikatakan melepaskan tembakan ke arah polis menggunakan senjata automatik dan drama tembak menembak berlangsung selama lima minit.

Perdana Menteri Belgium, Charles Michel dalam reaksinya berhubung kejadian itu berkata, operasi itu menunjukkan kerajaan negara itu komited untuk memerangi keganasan.



Tags / Kata Kunci: Belgium , pengganas , Brussels , Syria

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan