QZ8501: Operasi Angkat Ekor Pesawat Diperhebat

Diterbitkan: Sabtu, 10 Januari 2015 12:57 PM

Pasukan penyelam bersiap sedia untuk menjalankan tugas untuk memastikan ekor pesawat QZ8501 dapat diangkat dari dasar Laut Jawa.

(Ubah saiz teks)

PANGKALAN BUN: Kegagalan mengangkat ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar Laut Jawa setakat ini mendorong pihak berwajib menambah bilangan anggota penyelam dan beg pengangkut.

Setakat pagi Sabtu, empat beg pengangkut dan 10 penyelam ditambah untuk ke lokasi pencarian itu.

Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Marsma SB Supriyadi berkata, semua terbabit dalam perjalanan ke lokasi yang ditetapkan.

"Empat beg pengangkut dan tujuh penyelam dihantar ke Pelabuhan Kumai, mereka akan mendekati kapal KRI Banda Aceh. Tiga penyelam dihantar dengan helikopter dan membawa satu beg kecil," katanya.

Supriyadi berkata, penyelam Basarnas kini sudah bersedia di beberapa kapal milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk terjun ke dasar sebelum kehadiran penyelam tambahan.

Katanya, penyelam akan terjun ke beberapa titik lokasi yang mengesan beberapa objek dan bahagian milik pesawat QZ8501 di dasar laut.

"Sudah ada di KN Purworejo 21 penyelam, di KN Jakarta di Pelabuhan Kumai sudah ada 12 penyelam, kalau ditambah tujuh, jadi 19 semuanya.

"Di KRI Banda Aceh tadi sudah ada tiga penyelam. Mereka akan bantu angkatan laut TNI, kita bagi-bagi nanti di kapal yang mana," kata Supriyadi.

Tags / Kata Kunci: ekor pesawat , QZ8501 , Marsma SB Supriyadi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan