Jutawan Britain Ditemui Mati Terpacak Pada Pagar Besi Apartmen

Diterbitkan: Rabu, 10 Disember 2014 5:33 PM

Jutawan Britain mendiang Scot Young dan kekasihnya Noelle Reno.

(Ubah saiz teks)

LONDON: Jutawan Britain, Scot Young ditemui mati terpacak pada pagar besi apartmennya di kawasan mewah Marylebone di tengah-tengah bandar ini selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian 60 kaki.

Jutawan berusia 52 tahun itu meninggal dunia dalam keadaan yang sangat ngeri sehingga memaksa pihak polis menutup tempat kejadian dengan kain pemidang bagi mengelak mayatnya dilihat oleh orang ramai yang lalu lalang di kawasan mewah tersebut.

Pihak bomba dan penyelamat kemudiannya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk memotong pagar besi tersebut bagi mengeluarkan mayat mangsa.

Mangsa menjadi popular tidak sampai setahun yang lalu apabila kes perceraiannya disifatkan sebagai yang paling mahal pernah dibicarakan di mahkamah tinggi Britain apabila bekas isterinya, Michelle Young, 49, memenangi kes tersebut dengan pampasan berjumlah £20 juta.

Wajah dari luar apartment Young.

Perbicaraan kes itu berlangsung selama enam tahun.

Selepas kes itu selesai, Michelle menyifatkan yang apa yang dia terima adalah sesuatu yang memalukan kerana dia mendakwa yang bekas suaminya itu mempunyai aset dan wang tunai bernilai berbilion pound sterling.

Sepanjang perbicaraan, Young berhujah yang dia telah jatuh bankrap kerana krisis kewangan yang melanda dunia tetapi mahkamah kemudiannya mendapati yang dia telah menyembunyikan fakta bahawa dia sekurang-kurangnya masih memiliki £45 juta yang disembunyikan dalam pelbagai akaun.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan Young supaya membayar pampasan kepada bekas isterinya sebanyak £20 juta itu dalam tempoh 28 hari selepas tarikh perbicaraan selesai.

Sementara itu, portal berita Britain, Mail Online melaporkan yang para jiran berkata mendiang telah berpindah ke apartmen mewah bernilai £3 juta itu beberapa bulan yang lalu bersama kekasihnya, seorang warganegara Amerika bernama Noelle Reno, 30.

Seorang saksi, Gary Sutton 57, memberitahu: "Ia adalah satu pemandangan yang sangat tragis dan ngeri. Malah saya dapat melihat yang pihak polis turut merasa terkejut dengan keadaan mayat mangsa."

Seorang lagi saksi dipetik sebagai berkata; "Pihak polis cuba menutup kawasan kejadian tetapi orang ramai masih dapat melihat keadaan mayat mangsa yang tercucuk pada pagar besi di hadapan apartmen tersebut."

"Ia adalah satu pemandangan yang amat ngeri...saya terpaksa memandang ke arah lain sebaik sahaja terpandang mayat mangsa," ujarnya lagi.

Young dikatakan jatuh daripada salah satu tingkap apartmennya di tingkat paling atas sekali.

Harga pasaran apartmen di kawasan mewah itu ialah sekitar £3 juta seunit dan nilai sewaannya adalah sekitar £8,000 sebulan.

Selain apartmen tersebut, Young juga dikatakan memiliki sebuah rumah agam bernilai £21 juta di Oxfordshire dan juga di serata dunia.

Suatu ketika, dia dikatakan mempunyai harta dan aset bernilai £400 juta dan mengembara ke serata dunia menggunakan jet peribadi.

Polis terpaksa menutup kawasan mayat Young daripada dilihat orang sekeliling.

Bagaimanapun dia menerima tamparan yang kuat selepas perkahwinannya selama 17 tahun dengan Michelle berakhir pada 2006. Mereka mempunyai dua orang anak perempuan.

Ia kemudiannya diikuti dengan kes perbicaraan yang panjang.

Namun sebelum itu berlaku, mendiang telah menawarkan wang pampasan berjumlah £300 juta kepada bekas isterinya itu pada 2009 sebagai penyelesaian di luar mahkamah tetapi ditolak.

Setahun selepas itu dia membuat pengakuan di mahkamah yang dia telah bankrap sehinggakan dia tidak mampu membayar wang nafkah sebanyak £27,500 sebulan untuk kedua-dua orang anaknya itu yang kini berusia 21 dan 19 tahun.

Kemuncak kepada bala yang dihadapinya itu ialah apabila mahkamah mengeluarkan perintah penjara ke atasnya selama enam bulan Januari tahun lalu kerana enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai harta-hartanya sebagaimana yang diperintahkan.

Kekasih mendiang, Noelle Reno, yang juga seorang model berdiri teguh di sampingnya ketika saat-saat dia mengharungi hukuman penjara itu.

"Dia (Young) masih tidak dapat melupakan krisis kewangan yang melanda dirinya. Ia adalah sesuatu yang sangat traumatik untuknya," kata kekasihnya itu sebagaimana yang dipetik oleh Mail Online.

Pihak polis masih lagi menyiasat punca kejadian sama ada ia disebabkan kemalangan atau akibat daripada tekanan yang ditanggung oleh mendiang selepas kes perceraiannya itu.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan