Asap Pada Kokpit, Kabin Paksa Pesawat Qantas Mendarat Cemas

Diterbitkan: Isnin, 8 Disember 2014 5:35 PM

Sebahagian penumpang pesawat Boeing 737 yang mendarat cemas diberi rawatan perubatan kerana masalah pernafasan.

(Ubah saiz teks)

PENUMPANG pesawat Qantas melalui pengalaman ngeri apabila juruterbang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Perth, Australia apabila kokpit Boeing 737 itu dipenuhi asap.

Penerbangan QF904 ke Karratha itu terpaksa mendarat pada pukul 2.40 petang Isnin selepas dikesan adanya kepulan asap dan bau yang kurang enak dalam kabin.

Jurucakap lapangan terbang berkenaan berkata, sistem amaran dihidupkan dan pemeriksaan sebaik mendarat mendapati semua penumpang dalam keadaan selamat.

Sementara itu, jurucakap Qantas pula berkata, tiada laporan menunjukkan adanya penumpang yang menghadapi sebarang masalah berikutan kejadian itu.

Bagaimanapun, jurucakap St John Ambulans memaklumkan, pasukan perubatan merawat 75 orang di lapangan terbang itu kerana masalah pernafasan akibat asap itu.

Beberapa penumpang berkenaan mungkin terpaksa dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan lanjut, termasuk juruterbang pesawat itu.

Perkhidmatan kecemasan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan tidak diingini sebaik pesawat Boeing 737 mendarat cemas di Lapangan Terbang Perth, Isnin.

"Kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan jika perlu membawa sejumlah besar penumpang dan kru ke hospital," kata jurucakap itu.

Daily Mail Australia melaporkan, pesawat berkenaan terpaksa mendarat di Perth selepas kru kabin menghidu bau kurang menyenangkan.

"Pesawat itu mendarat seperti biasa, bagaimanapun perkhidmatan kecemasan dalam keadaan siap sedia sebagai langkah berjaga-jaga.

"Pesawat 737 itu akan menjalani pemeriksaan kejuruteraan untuk mengesan punca kejadian itu," kata jurucakap itu.

Penumpang pesawat berkenaan akan menaiki penerbangan Qantas seterusnya untuk ke destinasi sama.

Terdahulu, pesawat syarikat sama yang dalam penerbangan dari Dubai ke Sydney mendarat kerana menghadapi masalah teknikal pada unit penyaman udaranya.

Tags / Kata Kunci: Qantas , Perth , asap , kokpit

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan