Militan Somalia Bunuh 28 Penumpang Bas di Kenya

Diterbitkan: Sabtu, 22 November 2014 6:01 PM

(Ubah saiz teks)

GARISSA, Kenya: Sekumpulan lelaki bersenjata menahan sebuah bas di timur laut Kenya berdekatan sempadan Somalia awal hari ini dan membunuh 28 penumpang dalam serangan hendap yang didakwa polis dilakukan oleh kumpulan Shebab.

Serangan terbaharu yang dilancarkan kumpulan Shebab di Kenya itu berlaku seminggu selepas serbuan polis ke atas beberapa masjid di bandar pelabuhan Mombasa hingga mencetuskan ketegangan di bandar bergolak itu.

"Saya boleh sahkan bahawa...28 penumpang yang tidak bersalah dibunuh dengan kejam oleh anggota kumpulan Shebab," kata Ketua Polis Wilayah, Noah Mwavinda, merujuk kepada kumpulan militan Somalia.

Kumpulan lelaki bersenjata itu menyerang hendap bas yang dalam perjalanan ke Nairobi, beberapa kilometer selepas meninggalkan Mandera, sebuah bandar yang terletak di sempadan Somalia di timur laut Kenya.


Kira-kira 60 penumpang diarah turun dari bas itu dengan lelaki bersenjata itu memisahkan mereka ke kumpulan beragama Islam dan bukan Islam.

Anggota militan itu kemudian menaiki bas bersama penumpang bukan Islam dan cuba meninggalkan tempat itu, namun gagal kerana kenderaan berkenaan tersekat.

"Jadi mereka membunuh semua tahanan sebelum melarikan diri ke Somalia," kata Mwavinda.

Pasukan Palang Merah Kenya mengesahkan angka korban itu menerusi Twitter selepas tiba di tempat kejadian.

Pembunuhan itu berlaku seminggu selepas seorang penduduk ditembak mati manakala lebih 350 yang lain ditahan susulan serbuan pasukan keselamatan Kenya ke atas beberapa masjid di Mombasa bagi mencari senjata dan penyokong Shebab. 
Tags / Kata Kunci: militan Somalia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan