Persaingan Makin Sengit, Pendapatan Samsung Menjunam

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 3:51 PM

Samsung Galaxy S5 menerima saingan sengit daripada jenama telefon pintar berkuasa sederhana dan separa sederhana khususnya daripada produk Lenovo yang dihasilkan oleh China.

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Samsung pada Khamis melaporkan keuntungan yang menguncup - yang pertama dalam tempoh tiga tahun - sebahagian besarnya disebabkan unit telefon pintarnya menerima saingan sengit daripada iPhone6 dan produk dari China dan Taiwan seperti Lenovo, Asus dan Oppo.

Keuntungan bersih yang dicatatkan oleh syarikat elektronik Korea Selatan itu ialah Won4.22 trilion  (AS$4 bilion) dari Julai sehingga September tahun ini.

Jumlah ini walaupun masih tinggi tetapi memperlihatkan kejatuhan sehingga 48.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ia juga adalah yang terendah sejak 2011.

Manakala keuntungan operasi turut memperlihatkan kejatuhan sehingga 60 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu kepada Won4.06 trilion.

Jumlah jualan pula mencatatkan kejatuhan sebanyak 20 peratus kepada Won47.4 trilion, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Samsung.

Unit mobil firma elektronik terbesar dunia itu mencatatkan keuntungan operasi sekadar Won1.75 trilion iaitu satu kejatuhan angka yang mendadak berbanding  Won6.7 trilion yang diperolehinya setahun yang lalu.

Samsung mempunyai pelbagai unit produk tetapi unit mobilnya merupakan penjana pendapatan dan keuntungan yang paling besar sejak telefon pintar menguasai pasaran.

Hanya enam bulan yang lalu, keuntungan operasi unit mobil Samsung menyumbang 76 peratus daripada keuntungan operasi keseluruhan firma berkenaan tetapi kini jumlah tersebut menguncup hanya kepada 43 peratus sahaja.

"Harga purata jualan runcit telefon pintar telah menunjukkan kejatuhan ekoran pertambahan di pasaran telefon pintar berkuasa sederhana dan rendah serta persaingan sengit daripada jenama-jenama lain," jelas Samsung.

Samsung memperkenalkan produk terbarunya Galaxy S pada April tetapi sambutan luar biasa yang diterima oleh pesaing terdekatnya iaitu iPhone6 baru-baru ini telah menjejaskan jualannya secara keseluruhan.

Kini pasaran yang dikuasainya selama ini semakin diambilalih oleh segmen telefon pintar sederhana dan separa sederhana yang dikeluarkan oleh China.

Samsung menyaksikan kejatuhan penguasaan pasaran globalnya kepada 25.2 peratus pada suku kedua tahun ini daripada 32.6 peratus penguasaan pasarannya setahun yang lalu.

Sebaliknya, dua gergasi dari China iaitu Huawei dan Lenovo Xiaomi menyaksikan penguasaan pasaran mereka meningkat kepada 17.3 peratus tahun ini berbanding 11.4 peratus tahun lalu.

Jelas Samsung pasaran mobil mereka kekal sebagaia bahagian yang berhadapan dengan ketidaktentuan pada masa hadapan.

Naib Presiden Kanan Unit Mobil Samsung, Kim Hyun-Joon berkata, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan merombak secara dramatik produksi segmen sederhana dan separa sederhana.

"Struktur perniagaan Unit Mobil memerlukan perubahan drastik untuk menangani persaingan sengit sektor sederhana dan separa sederhana," ujarnya.

Tetapi para penganalisa melihat sebaliknya.

"Samsung sebenarnya berhadapan dengan kesukaran untuk menembusi pasaran China yang besar kerana China sendiri sudah mampu menghasilkan produk mereka sendiri yang setara dengan Samsung bagi segmen sederhana dan separa sederhana," kata Lee Min-Hee, seorang penganalisa di IM Investment and Securities.

Produk Lenovo telah menyingkirkan Samsung sebagai produk paling laris di China dalam segmen telefon pintar dengan penguasaan pasaran sebanyak 14 peratus berbanding Samsung pada kadar 12 peratus pada suku kedua tahun ini.

Salah satu daripada perbezaan paling ketara ialah pada harganya.

Produk telefon pintar Lenovo paling murah boleh diperolehi pada harga AS$100 manakala Siri Galaxy Samsung sekitar AS$500.

Ini sudah memadai untuk menjadi daya penarik bagi sebuah negara sepertimana China.

Tags / Kata Kunci: Samsung , Galaxy S , iPhone6 , Lenovo , Oppo , China

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan