Ibu Penghina Jokowi Rela Ganti Anak Dalam Penjara

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 6:01 PM

Kediaman keluarga Muhamad Arsyad yang serba daif di Ciracas, Jakarta Timur.

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Ibu pemuda yang ditangkap polis kerana menghina Presiden Joko Widodo berkata, dia rela menggantikan anaknya di penjara jika dibenarkan pihak berkuasa.

Kata Mursidah, 49, anaknya, Muhamad Arsyad, 23, adalah tulang belakang kepada keluarga mereka.

“Bapak presiden, saya mohon maaf atas tindakan anak saya. Tolonglah bebaskan dia. Jika perlu, tukar saja saya dengan dia,” katanya.

Mursidah menunjukkan kad pengenalan diri anaknya, Muhamad Arsyad.

Muhamad Arsyad ditangkap polis sejak 23 Oktober lalu selepas menerima aduan mengenai status dimuat naik di akaun Facebooknya menghina Jokowi.

Antara lain, dia memuat naik gambar lucah dan mengaitkannya dengan presiden ketujuh Indonesia itu.

Kejadian berlaku beberapa bulan lalu dan peguamnya berkata, Muhamad Arsyad terikut-ikut dengan kehangatan pilihan raya presiden ketika itu.

Muhamad Arsyad bekerja sebagai tukang cucuk sate.

Kata Mursidah, sejak Muhamad Arsyad ditangkap, tiada lagi sesiapa di dalam keluarganya menjadi pencari nafkah.

Katanya, keperitan lebih dirasai dua adik Muhamad Arsyad yang masih bersekolah, iaitu Riskiyah, 13, dan  Apriana, 10.

“Mereka kini makan nasi cuma berlauk kicap,” katanya.

Mursidah cuma bekerja sebagai pengupas bawang di Pasar Kramat Jati, manakala suaminya, Saprudin, 50, adalah buruh binaan. 



Tags / Kata Kunci: Murshidah , tukang cucuk sate , Joko Widodo

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan